Petugas SPR melakukan kerja-kerja pemeriksaan peti undi sebagai persiapan akhir menjelang hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlangsung esok dijangka menyaksikan persaingan sengit apabila tiada mana-mana gabungan politik mempunyai laluan mudah untuk menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Institut Darul Ehsan (IDE), keputusan pilihan raya kali ini banyak bergantung kepada kadar keluar mengundi, sokongan pengundi atas pagar, prestasi kempen di saat akhir serta persaingan di lapan kerusi marginal.

IDE berkata, sejarah politik Negeri Sembilan menunjukkan landskap negeri itu sentiasa berubah dengan Barisan Nasional (BN) memenangi 22 kerusi pada 2013, sebelum Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran menerusi kemenangan 20 kerusi pada 2018.

Pada PRN 2023 pula, kerjasama PH-BN menguasai 31 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.

Berdasarkan kajian persepsi pengundi yang dijalankan antara 16 hingga 19 Julai lalu yang melibatkan 1,225 responden, sebanyak 62.3 peratus pengundi menyatakan mereka pasti akan keluar mengundi manakala 24 peratus lagi berkemungkinan besar akan berbuat demikian.

Bagaimanapun, IDE menjangkakan kadar keluar mengundi sebenar bergantung kepada faktor seperti mobilisasi jentera parti, keadaan cuaca, kemudahan pengangkutan dan perkembangan akhir kempen, dengan peratusan keseluruhan dianggarkan sekitar 68 hingga 70 peratus.

Penyokong membawa keretanya dengan hiasan bendera Barisan Nasional mengelilingi DUN Chennah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Simpang Durian, Jelebu. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JULAI 2026.

Menurut IDE, komitmen keluar mengundi paling tinggi dicatatkan dalam kalangan pengundi Melayu iaitu 66.7 peratus, berbanding pengundi Cina (56.1 peratus) dan India (56.6 peratus), sekali gus berpotensi mempengaruhi keputusan di kerusi campuran.

Kajian itu turut mendapati pengundi muda berusia antara 18 hingga 30 tahun menjadi cabaran utama kepada semua parti apabila hanya 51.8 peratus daripada mereka menyatakan pasti akan keluar mengundi, lebih rendah berbanding kumpulan umur 31 hingga 60 tahun (67.4 peratus) dan 61 tahun ke atas (63.4 peratus).

Pengundi Melayu menunjukkan komitmen paling tinggi, dengan 66.7% pasti akan mengundi namun angka lebih rendah dalam kalangan pengundi Cina, iaitu hanya 56.1% akan keluar mengundi dan pengundi India hanya 56.6%.

Parti yang bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu perlu memastikan penyokong mereka benar-benar hadir, khususnya di kerusi bandar dan separa bandar yang mempunyai persaingan rapat.

Selain itu, IDE menganggarkan antara 12 hingga 18 peratus pengundi masih belum membuat keputusan.

Manakala 33.8 peratus hanya memuktamadkan pilihan selepas hari penamaan calon atau lebih lewat, termasuk 14.8 peratus yang hanya membuat keputusan pada hari pengundian.

Bendera PH dan BN berkibar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Telok Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 JULAI 2026.

Malah, kumpulan ini dijangka menjadi penentu kepada keputusan di beberapa kerusi marginal.

Menurut IDE, angka tersebut menunjukkan kempen belum selesai walaupun majoriti responden telah mempunyai kecenderungan politik.

Disebabkan itu, hari-hari terakhir sebelum pengundian masih mempunyai nilai strategik yang tinggi kerana pengundi yang membuat keputusan lewat lazimnya lebih sensitif terhadap beberapa faktor, termasuk kredibiliti calon, kempen dari rumah ke rumah, penjelasan mengenai isu kos sara hidup, prestasi kerajaan negeri dan persepsi terhadap kepimpinan parti.

Sebarang kesilapan komunikasi, kontroversi calon atau kegagalan menjawab isu rakyat dalam tempoh akhir boleh mengubah keseimbangan di kerusi marginal.

IDE turut menjangkakan lapan kerusi marginal akan menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri kerana perubahan beberapa ratus undi atau sedikit peningkatan kadar keluar mengundi mampu mengubah keseimbangan kuasa.

Dalam perkembangan berkaitan, IDE berpandangan pendekatan kempen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi momentum positif kepada mood pengundian dengan meningkatkan perhatian rakyat terhadap isu semasa serta mendorong pengundi, khususnya golongan atas pagar, mendapatkan maklumat sebelum membuat keputusan.

IDE turut menyatakan sentimen “anti-DAP”, isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji serta persepsi positif terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berpotensi mempengaruhi pengundi yang masih belum membuat keputusan menjelang hari pengundian.

IDE menyimpulkan belum ada mana-mana parti yang boleh dianggap mendominasi secara mutlak atau mempunyai laluan selesa.

Jelasnya, kelebihan dalam angka sokongan semasa masih boleh berubah apabila diterjemahkan kepada pertandingan di peringkat DUN.

Ia kerana, keputusan akhir dijangka ditentukan oleh tiga kelompok utama iaitu pengundi atas pagar, pengundi yang membuat keputusan pada minggu terakhir dan pengundi yang menyatakan sokongan tetapi belum tentu keluar mengundi.

Selain itu, tambahnya, keupayaan parti meningkatkan kadar keluar mengundi khususnya dalam kalangan pengundi
muda, pengundi Cina dan pengundi India, akan menjadi sama penting dengan keupayaan menarik pengundi baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast