KUALA LUMPUR – Pemerhati politik, Shahbudin Husin menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpotensi mengubah landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, kejayaan gabungan itu merampas pentadbiran Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH) membuktikan kerjasama BN dan PN diterima pengundi serta mempunyai potensi besar untuk diperluaskan pada peringkat nasional.
“Dengan kemenangan ini, BN dan PN berjaya merampas sebuah negeri yang sebelum ini ditadbir PH.
“Gambaran mudah daripada kemenangan BN-PN ialah kerjasama kedua-duanya dilihat mampu mengubah landskap politik negara pada PRU16 akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Shahbudin berkata, berdasarkan keputusan PRN, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus memberikan gabungan itu 25 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Menurutnya, daripada 18 kerusi yang dimenangi BN, sebanyak 16 kerusi disumbangkan UMNO dan dua lagi oleh MCA, manakala tujuh kerusi PN terdiri daripada empat kerusi dimenangi Ps dan tiga kerusi oleh Parti Wawasan.
Beliau turut mendakwa, PH bukan sahaja kehilangan pentadbiran negeri, malah dua pemimpin kanannya iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun dan Anthony Loke turut tewas di kerusi masing-masing.
Selain itu, beliau mendakwa, daripada 11 kerusi yang dimenangi PH, sembilan dimenangi DAP dan dua lagi oleh PKR, manakala semua calon Melayu PKR serta Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memenangi sebarang kerusi.
Beliau turut menyifatkan kemenangan di Negeri Sembilan sebagai amaran yang tidak boleh dipandang ringan oleh PH dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette















