JEMPOL — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan teruja dan memuji sambutan luar biasa yang ditunjukkan golongan pengundi muda pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.
Menurut beliau, tinjauan yang dijalankan di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Middleton mendapati saluran tujuh yang dikhaskan untuk pengundi muda termasuk kali pertama mencatatkan kehadiran amat menggalakkan seawal pagi.
“Tadi saya sempat masuk ke saluran tujuh bagi pengundi kali pertama dan (muda) itu pun agak merangsangkan, dah ramai beratur panjang.
“Ini semua adalah tanda-tanda bahawa negara kita sedang menuju ke arah demokrasi yang betul-betul tulen,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan mesra di pusat pengundian berkenaan.

Manivanan berkata, komitmen anak muda yang tampil seawal pagi untuk menunaikan tanggungjawab adalah satu perkembangan positif kepada lanskap politik tempatan, sekali gus membuktikan golongan itu semakin peka terhadap masa depan kawasan mereka.
Beliau turut memuji kelancaran keseluruhan proses pengundian di mana sebanyak tujuh saluran di sekolah berkenaan dibuka bagi kemudahan penduduk tempatan.
“Pengundi nampaknya telah keluar awal-awal pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan Persekutua dan dalam tempoh satu jam pertama sahaja, buku pertama mengandungi 50 pengundi bagi setiap saluran telah selesai.
“Ini menunjukkan semangat luar biasa pengundi,” katanya yang turut berpuas hati dengan pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan proses berkenaan dengan cekap dan profesional.
DUN Jeram padang yang mempunyai seramai 16,590 pengundi menyaksikan saingan empat penjuru antara Manivanan menentang penyandang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir (Barisan Nasional).
Turut bertanding, R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan calon daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Dayana Dal. – MalaysiaGazette
















