KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengemukakan empat tuntutan utama kepada kerajaan susulan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH).
Tuntutan-tuntuan tersebut iaitu mengheret individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, menyiasat dakwaan manipulasi perakaunan melibatkan Jabatan Audit Negara, meminda Akta Tabung Haji 1995 bagi menghalang pelantikan ahli politik dalam pengurusan TH serta memisahkan kuasa pengawasan antara portfolio Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pengerusi Biro Ekonomi yang juga Pemangku Naib Presiden Perkasa, Izhar Kahar berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan segera tanpa kompromi susulan pendedahan RCI yang mendakwa berlaku kepincangan sistemik, salah guna kuasa dan manipulasi perakaunan sehingga menyebabkan anggaran kerugian antara RM10 bilion hingga RM12.6 bilion.
Katanya, pertubuhan itu bertindak mewakili lebih 9.7 juta pendeposit TH serta umat Islam yang mahu institusi berkenaan dipulihkan sepenuhnya.
“Kira-kira 53 peratus daripada keseluruhan pendeposit TH terdiri daripada golongan B40 yang mempunyai baki simpanan di bawah RM1,300 dan wang tersebut dikumpulkan selama bertahun-tahun bagi menunaikan ibadah haji.
“Perkasa tidak akan membiarkan hak umat Islam dipijak dan dicabuli tanpa sebarang tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas tuntutan pertama, Perkasa mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan forensik jenayah termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 terhadap bekas pengurusan tertinggi, panel pelaburan serta ahli lembaga pengarah yang didakwa meluluskan pelaburan berisiko tinggi.
Menurutnya, antara pelaburan yang dipersoalkan ialah kerugian belum direalisasi sebanyak RM1.059 bilion dalam FGV Holdings dan kerugian rosot nilai penuh RM364.31 juta membabitkan Trurich Resources.
Bagi tuntutan kedua, Perkasa mahu siasatan tatatertib dan jenayah dijalankan terhadap mana-mana pegawai Jabatan Audit Negara yang didakwa terlibat dalam amalan “perakaunan kreatif” sehingga membolehkan TH menerima Sijil Bersih tanpa Teguran pada 2017 walaupun didakwa mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion.
Selain itu, Perkasa turut menggesa kerajaan meminda Akta Tabung Haji 1995 bagi memastikan institusi berkenaan diterajui sepenuhnya oleh golongan profesional, pakar syariah dan teknokrat, tanpa penglibatan ahli politik aktif sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah.
Dalam masa sama, pertubuhan itu menuntut supaya kuasa pengurusan operasi haji dan kebajikan jemaah kekal di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala pengawasan dana serta pelaburan TH diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi mengelakkan konflik kepentingan.
“Perkasa turut memberi amaran bahawa keyakinan umat Islam terhadap TH kini berada pada tahap kritikal dan kerajaan digesa mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.
“Pulangkan maruah dan kesucian Tabung Haji. Bersihkan institusi ini dengan penguatkuasaan hukum tanpa kompromi,” katanya. – MalaysiaGazette
















