Gambar JBPM Pahang

BENTONG –  Polis mengesahkan empat individu maut selepas pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke Janda Baik di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Zaiham Mohd Kahar, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu kira-kira 12.30 tengah hari ini.

“Kejadian membabitkan sebuah kenderaan jenis Ford Raptor ditimpa pokok.

“Difahamkan terdapat lima individu dalam kenderaan. Pemandu iaitu lelaki berusia 35 tahun, penumpang hadapan, wanita berusia 36 tahun bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangku dan penumpang belakang iaitu lelaki berusia 40 tahun disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, seorang lagi penumpang tempat duduk belakang iaitu kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan cedera dan dihantar ke Hospital Bentong untuk diberikan rawatan.

Zaiham berkata, berdasarkan maklumat pengenalan diri yang ditemui, keempat-empat penumpang kenderaan terbabit mempunyai pertalian kekeluargaan di mana kedua-dua kanak-kanak lelaki terbabit dipercayai pasangan kembar.

“Berdasarkan pengenalan diri yang ditemui, mereka adalah satu keluarga. Hanya pemandu yang kita masih dalam proses untuk pastikan hubungan,” katanya lagi.

Jelas Zaiham, kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi tujuan bedah siasatan yang dijangka bermula  8 malam ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast