KUALA LUMPUR – MNRB Holdings Berhad (MNRB) memeterai perjanjian pelaksanaan dengan Rakyat Nominees Sdn. Bhd. (Rakyat Nominees) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) bagi cadangan pelupusan dua anak syarikat milik penuhnya, Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad, dengan nilai pertimbangan berjumlah RM1.64 bilion tertakluk kepada pelarasan.
Dalam kenyataan hari ini, MNRB memaklumkan, kedua-dua perjanjian pelaksanaan itu membentuk rangka kerja yang menggariskan tanggungjawab setiap pihak serta langkah-langkah diperlukan bagi melaksanakan cadangan pelupusan berkenaan.
Ia termasuk mendapatkan kelulusan berkaitan serta memuktamadkan dokumen transaksi.
Cadangan pelupusan tersebut tertakluk kepada beberapa kelulusan, antaranya daripada Bank Negara Malaysia dan/atau Menteri Kewangan Malaysia, selain kelulusan pemegang saham MNRB.
Menurut MNRB, selepas selesai pelaksanaan, cadangan itu dijangka menggabungkan kekuatan saling melengkapi antara Takaful Ikhlas dan Bank Rakyat bagi menyokong pertumbuhan berterusan industri takaful Malaysia serta pembangunan ekosistem perkhidmatan kewangan Islam negara.
Pengerusi MNRB, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan itu dalam menyemak semula portfolio pelaburan bagi memastikan perniagaan serta sumber yang dimiliki kekal sejajar dengan keutamaan strategik.
“Cadangan pelupusan ini mencerminkan pendekatan berdisiplin kami dalam pengurusan strategik serta komitmen terhadap penciptaan nilai mampan.
“Ia akan membolehkan MNRB merealisasikan nilai pelaburannya dalam segmen takaful langsung dan utama, sekali gus membolehkan kumpulan memberi tumpuan lebih kukuh terhadap perniagaan teras reinsurans dan retakaful,” katanya.
Beliau berkata, cadangan pelupusan itu turut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasi strategik lebih luas MNRB.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan cadangan pengambilalihan baki 80 peratus kepentingan ekuiti dalam Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re) yang diumumkan pada Mei 2026, sebagai sebahagian usaha kumpulan menyusun semula portfolio mengikut keutamaan strategik semasa.
Sulaiman berkata, MNRB yakin cadangan pelupusan berkenaan mampu memanfaatkan kekuatan saling melengkapi antara kedua-dua pihak serta menyokong pertumbuhan berterusan Takaful Ikhlas.
“Sepanjang proses ini berjalan, kumpulan akan terus menguruskan urusan tersebut dengan teliti dan bertanggungjawab, dengan mengambil kira kepentingan pemegang saham, pelanggan, pekerja serta pihak berkepentingan lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















