KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa agar segera menyelesaikan kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang dibiarkan tanpa pengganti selama 83 hari, desak Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Seputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Beliau berkata, banyak masalah gagal ditangani termasuk kelewatan bekalan baja subsidi yang semakin membebankan pesawah.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang diterajui Datuk Seri Mohamad Sabu dilihat gagal apabila urusan asas kelangsungan industri padi negara terus dibiarkan tanpa penyelesaian tuntas.
“Tempoh perkhidmatan pengerusi terdahulu, Datuk Dr Ismail Salleh telah tamat pada 14 Mei lalu namun sehingga hari ini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pelantikan pengganti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kekosongan jawatan penting itu tidak boleh dianggap sebagai isu pentadbiran kerana MADA memegang peranan kritikal dalam menguruskan pengairan, jadual penanaman serta kelangsungan industri padi negara.
“Kelemahan tadbir urus berkenaan menjadi punca kepada kemelut kelewatan bekalan baja subsidi yang berlarutan sehingga membebankan para pesawah.
“Lihat pada statistik bekalan, setakat 29 Jun lalu, hanya 37,560 beg Baja Sebatian Tambahan Padi 3 diterima daripada keseluruhan keperluan sebanyak 616,015 beg, manakala bekalan Baja Urea pula tertangguh akibat masalah proses tender.
“Walaupun KPKM sebelum ini memberi jaminan isu bekalan baja akan selesai sebelum akhir Julai, aduan berkaitan kelewatan dan kualiti baja masih diterima daripada pesawah sehingga awal Ogos ini,” katanya lagi.
Tambahnya, proses pembajaan padi mengikut jadual yang begitu ketat dan tidak boleh ditangguh mengikut birokrasi kerajaan.
“Kelewatan pengagihan baja mengikut fasa pertumbuhan padi berisiko menjejaskan pengisian biji dan saiz hasil, sekali gus meragut pendapatan pesawah yang terpaksa menanggung akibat kegagalan perancangan kerajaan.
“Saya mahu KPKM menyeggerakan pelantikan Pengerusi MADA baharu serta mendedahkan status sebenar pengagihan baja secara telus mengikut wilayah,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Ashraf Mustaqim turut mendesak Mohamad Sabu agar bertindak tegas terhadap pembekal yang gagal dan tidak membiarkan beban penjelasan ditanggung oleh pegawai agensi semata-mata.
“Selain itu, saya menggesa Perdana Menteri membuat penilaian serius terhadap kegagalan ini demi keterjaminan makanan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















