SEBERANG JAYA – “Ibu mana sanggup melihat gambar aib anak sendiri tersebar, apatah lagi apabila wajahnya disunting pada tubuh individu lain tanpa seurat benang.”
Itu luahan seorang ibu selepas anak perempuannya berusia 17 tahun dan juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa menjadi mangsa buli seksual berulang kali sehingga menjejaskan emosi remaja berkenaan.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 46, berkata, anak keduanya daripada tiga beradik itu kini hidup dalam tekanan selepas wajah, nama, kelas dan nombor telefonnya didakwa disebarkan melalui poster berunsur lucah serta akaun media sosial palsu sejak April lalu.
Menurutnya, kejadian pada awalnya berlaku di sekolah anaknya di Seberang Perai Tengah (SPT) sebelum ia didakwa merebak ke sekolah lain dalam daerah sama apabila poster berkenaan turut ditemui dalam raga motosikal pelajar.
“Kami hanya mengetahui poster itu sudah tersebar ke sekolah lain semalam selepas anak menerima mesej daripada individu yang meminta video lucah seperti didakwa dalam poster berkenaan.
“Sebagai ibu, saya memang risau dengan keselamatan dan emosi anak. Pada awalnya kejadian berlaku dalam sekolah, tetapi kini sudah sampai ke luar sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Nur berkata, anaknya turut mengalami tekanan emosi sehingga menangis dan berasa malu untuk ke sekolah selepas wajahnya digunakan bagi menghasilkan bahan yang memalukan dirinya.
“Kami sentiasa beri semangat dan pujuk dia supaya kuat serta buat tidak tahu, tetapi sebagai ibu saya risau kalau dia pendam perasaan dan berlaku perkara yang tidak diingini.

“Walaupun dia cuba kuat, saya tahu dia tertekan dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurut Nur, anaknya sudah membuat tiga laporan polis berhubung kejadian itu masing-masing pada April, Jun dan laporan terbaru semalam, namun tiada sebarang perkembangan yang memuaskan.
Nur turut mempersoalkan bagaimana individu yang didakwa melakukan perbuatan itu masih belum dikenal pasti sedangkan kawasan sekolah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) memandangkan poster berkenaan didakwa ditampal di beberapa lokasi seperti kantin, bilik mesyuarat, papan kenyataan serta kaki lima sekolah.
Selain laporan polis, Nur berkata, dia dan suami turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini selepas mengesan beberapa akaun media sosial palsu yang menggunakan wajah serta imej suntingan bagi mengaibkan anaknya.
Katanya, dia terkilan kerana merasakan ketiadaan tindakan tegas menyebabkan individu terbabit semakin berani mengulangi perbuatan itu.
“Saya juga tidak boleh pastikan motif sebenar, tetapi mungkin kerana cemburu sesama rakan kerana anak saya merupakan model sambilan atau ada yang menaruh perasaan terhadapnya tetapi cintanya tidak berbalas.
“Saya mahu perkara ini dihentikan. Jangan ganggu lagi anak saya. Dia calon SPM dan saya tidak mahu masa depan serta emosinya terus terjejas akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini.
“Saya juga berharap pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dan polis mempercepatkan siasatan bagi mengenal pasti individu bertanggungjawab kerana kes ini membabitkan kehormatan, emosi dan keselamatan anak saya,” katanya. – MalaysiaGazette
















