Filem tempatan Irumbuth Thottam bakal menemui peminat filem triller misteri pertengahan tahun ini.

KUALA LUMPUR – Selepas mencuri perhatian sejak diperkenalkan awal tahun ini, filem jenayah siasatan Tamil tempatan Irumbuth Thottam (Ladang Besi) akhirnya menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula esok.

Ia filem yang mempertaruhkan jalan cerita yang sarat dengan misteri, emosi dan mesej kemasyarakatan.

Filem berdurasi satu jam 54 minit arahan Jaydev Jayakumar itu diterbitkan oleh AVLT Production dengan kerjasama Pocketplay Films selain menampilkan Irfan Zaini dan Logavarman Stideran sebagai pelakon utama.

Mengangkat genre crime thriller dan misteri, Irumbuth Thottam mengisahkan dua pegawai penyiasat yang ditugaskan menyiasat kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di pekan Tebong, Melaka sebelum membawa kepada pelbagai pendedahan yang tidak dijangka.

Selain Irfan dan Logavarman, filem itu turut dibintangi Marie Dashani Matthews, Mohana Raj, Dhurgaashini S. Vijyan, Vino Shan, Vijay Naidu, V. Kogila, Balan Kash, Kalaimamani KS Maniam, Datuk Geethanjali G serta Adli Hafidz.

Filem Tamil tempatan, ‘Irumbuth Thottam’ di pawagam mulai esok.

Manakala Timbalan Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj turut membuat penampilan khas.

Penerbitnya, Jegan John Peter berkata, Irumbuth Thottam bukan sekadar sebuah filem jenayah siasatan sebaliknya lahir daripada pengorbanan besar seluruh pasukan produksi yang mengambil masa hampir dua tahun untuk direalisasikan.

“Hampir dua tahun kehidupan kami dihabiskan untuk menjayakan filem ini,” katanya.

Beliau berkata, naskhah itu turut membawa mesej dekat dengan masyarakat apabila mengajak penonton merenung tanggungjawab bersama dalam melindungi kanak-kanak dan remaja.

“Poongodi baru berusia 15 tahun. Dia boleh jadi adik kita, anak kita, jiran kita atau seseorang yang kita kenali. Apa yang berlaku kepadanya mengajak kita bertanya apakah tanggungjawab kita sebagai sebuah keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Jegan berharap penonton memberi peluang kepada karya tempatan itu dan berkongsi pengalaman selepas menontonnya supaya lebih ramai mengetahui mengenai filem berkenaan.

Beliau turut memberi komitmen hasil kutipan filem itu selepas tamat tayangan di pawagam akan disalurkan semula kepada masyarakat sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan.

Irumbuth Thottam mengetengahkan kisah tempatan yang sarat dengan elemen emosi dan misteri, selain diinspirasikan daripada realiti masyarakat.

Jaydev sebelum ini berkata, pemilihan Tebong sebagai lokasi utama penggambaran mempunyai nilai sentimental kerana ia merupakan kampung halamannya di samping melibatkan penyertaan lebih 50 penduduk tempatan sebagai pelakon tambahan bagi menghidupkan lagi penceritaan.

Bermula esok, Irumbuth Thottam akan ditayangkan di rangkaian pawagam utama termasuk GSC, TGV, FST, AE Cinemas, TSR Cinemax, Amerin Cineplex, Mega Riverfront, MS Kampar dan Blockbuster Perling di beberapa negeri di seluruh negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast