Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli terus menuntut penjelasan dari pengurusan Tabung Haji (TH) berhubung isu pembayaran zakat selepas mendapati wujud percanggahan ketara antara pendirian institusi itu dengan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Meskipun beliau berterima kasih kerana pengurusan TH telah mengeluarkan kenyataan media semalam mengenai pendirian agensi itu namun ia masih belum menjernihkan beberapa isu kritikal yang ditimbulkan dalam laporan RCI yang didedahkan Rabu lalu.

Jelas Rafizi, antara isu yang belum diperjelas termasuk penekanan RCI mengenai perubahan akad yang tidak dimaklumkan kepada pendeposit bagi mendapatkan persetujuan supaya sebahagian keuntungan pelaburan digunakan untuk subsidi.

Menurut Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), kesan perubahan akad dari Mudarabah kepada Wadi’ah Yad Dhamanah telah mengubah status hubungan TH dengan pendeposit.

Jelas beliau, perubahan itu mengubah status dari rakan kongsi menjadi peminjam kepada pendeposit yang mana zakat ke atas pendeposit telah menjadi zakat simpanan sebanyak 2.5 peratus.

Katanya, amaun zakat yang perlu dilunaskan oleh TH sekiranya dibayar sebagai zakat simpanan dan bukannya zakat perniagaan seperti amalan institusi itu, adalah lebih besar daripada apa yang dibayarnya.

“Kenyataan pengurusan TH menyebut bahawa zakat telah dibayar bagi pihak pendeposit, tidak menjawab isu-isu yang dibangkitkan di dalam laporan suruhanjaya.

“Pendirian TH yang secara tidak langsung menyatakan isu zakat tidak berbangkit boleh memberi gambaran bahawa pengurusan TH tidak bersetuju dan menolak penemuan-penemuan di dalam laporan itu.

“Saya berharap pihak berwajib terus memberi penjelasan yang boleh menjernihkan perkara-perkara yang ditimbulkan terutamanya mengenai status bayaran zakat,” ujarnya dalam hantaran bagi pihak Parti Bersama Malaysia (Bersama) menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Dua hari lalu, Rafizi meminta kerajaan menjelaskan status bayaran zakat bagi pendeposit TH susulan penemuan `meresahkan’ dalam laporan RCI yang didedahkan umum, Rabu lalu.

Menurut beliau, laporan suruhanjaya mendapati semasa TH (ketika itu Lembaga Tabung Haji) membayar zakat di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah dari 2016 hingga 2019, ia sebenarnya perlu dibayar oleh agensi itu, bukan dilunaskan oleh pendeposit.

Menurut beliau, pendekatan yang diambil oleh agensi itu bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995 yang tidak membenarkan LTH meminjam dan tidak tertakluk kepada pembayaran zakat.

Rafizi selanjutnya berkata, secara ringkasnya, kenyataan TH menjelaskan pendirian pengurusannya bahawa isu zakat yang dipersoalkan oleh suruhanjaya adalah tidak berbangkit.

Menurut TH, semua zakat yang dikeluarkan pada setiap masa adalah bagi pihak pendeposit kerana agensi itu tidak diwajibkan zakat ke atasnya.

“Saya berharap pihak berwajib termasuk pengurusan Tabung Haji, bersabar dengan saya yang perlu terus menanyakan soalan bagi pihak orang ramai, lebih-lebih lagi dalam keadaan tidak ramai yang ingin bertanya mendapatkan penjelasan dalam isu yang sensitif seperti ini.

“Saya juga pernah melalui zaman yang mana setiap perkara mengenai hal ehwal pengurusan dan kewangan TH yang dibangkitkan, dinafikan bulat-bulat oleh pengurusan ketika itu.

“Malah saya dituduh memfitnah dan TH sendiri membuat laporan polis terhadap saya sehingga saya diheret ke mahkamah.

“10 tahun kemudian, satu laporan RCI mengesahkan isu-isu yang dinafikan oleh pengurusan TH ketika itu, adalah benar belaka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast