Dzulhilmi Zainol
Dzul Hilmi Zainol

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai langkah hipokrit yang hanya menguntungkan UMNO dan sekutunya.

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, tindakan itu secara tidak langsung akan memecahkan undi Pakatan Harapan (PH), sekali gus membuka laluan kepada lawan politik gabungan tersebut.

Menurutnya, keadaan itu bercanggah dengan pendirian Rafizi yang sebelum ini lantang mengkritik UMNO dan Pas, namun kini mengambil langkah yang memberi kelebihan kepada kedua-dua parti berkenaan.

“Apa yang jelas, keputusan Parti Kancil (Bersama) untuk menyatakan hasrat bertanding dalam PRN Melaka hanya akan memberi kelebihan kepada lawan utama PH, khususnya UMNO dan sekutunya, melalui perpecahan undi.

“Ironinya, individu yang sebelum ini begitu lantang mengkritik UMNO dan Pas kini sanggup mengambil langkah yang secara langsung menguntungkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzul Hilmi berkata, rakyat berhak menilai sama ada perjuangan yang dibawa Parti Kancil benar-benar bertujuan membawa perubahan atau sekadar didorong dendam politik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, dalam sistem pilihan raya, setiap undi mempunyai impak besar dan tindakan memecahkan undi hanya akan membuka ruang kepada musuh politik PH kembali berkuasa jika matlamat sebenar adalah untuk meneruskan agenda reformasi.

“Sebab itu kami menyeru rakyat, khususnya pengundi yang mungkin mempunyai rasa tidak puas hati terhadap PH, supaya membuat pertimbangan dengan bijak.

“Mengundi Parti Kancil bukan sahaja tidak membawa kepada pembentukan kerajaan, malah berpotensi menjadi faktor yang memenangkan pihak yang selama ini mereka sendiri dakwa sebagai musuh perjuangan,” katanya.

Sebelum ini, Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berpandangan Parti Bersama dijangka sekali lagi menerima penolakan pengundi pada PRN Melaka selepas gagal memenangi semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRN Johor sehingga hilang deposit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast