KUALA LUMPUR — Persoalan mengenai baki RM3 juta peruntukan Parlimen Petaling Jaya tercetus selepas ahli parlimennya, Lee Chean Chung mendakwa, dana berkenaan tidak lagi disalurkan melalui wakil rakyat yang dipilih.
Sebaliknya timbul dakwaan permohonan kerja kecil dan sumbangan kewangan kini boleh dibuat melalui Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Hee Loy Sian.
Chean Chung berkata, aksesnya ke portal MyKhas disekat pada penghujung Mei lalu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan pada Julai bahawa baki peruntukan RM3 juta bagi Parlimen Petaling Jaya tidak lagi disalurkan melaluinya.
Menurutnya, beliau telah berusaha mendapatkan penjelasan menerusi pelbagai saluran mengenai status dan pengurusan baki peruntukan itu namun mendakwa sehingga kini tiada penjelasan rasmi diterima.
“Selepas program Perdana Menteri di Petaling Jaya, saya menerima satu tangkap layar daripada kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa Cabang PKR Petaling Jaya.
“Dalam mesej tersebut, Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, YB Hee Loy Sian memaklumkan bahawa mulai sekarang permohonan ICU Parlimen Petaling Jaya bagi kerja-kerja kecil dan sumbangan kewangan boleh merujuk kepadanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Chean Chung berkata, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai siapa yang kini mempunyai kuasa mengurus baki RM3 juta peruntukan kawasan berkenaan berdasarkan kuasa apa dan melalui prosedur serta mekanisme semak dan imbang yang bagaimana.
Beliau turut mempersoalkan sama ada perubahan mekanisme penyaluran itu melibatkan pengurusan dana awam melalui saluran parti politik.
“Peruntukan Parlimen adalah wang awam yang diperuntukkan untuk manfaat seluruh rakyat bukannya untuk diurus oleh mana-mana jawatan parti politik.
“Jika benar berlaku perubahan mekanisme penyaluran peruntukan, mengapa tiada pekeliling, kenyataan rasmi atau garis panduan diumumkan kepada rakyat Petaling Jaya?” soalnya.
Dalam pada itu, Chean Chung turut meminta kerajaan menjelaskan sama ada dana RM3 juta tersebut masih berada di bawah kawalan kerajaan dan tertakluk kepada proses yang telus atau diurus melalui saluran yang dikendalikan PKR.
Beliau juga mempersoalkan sama ada situasi sama berlaku di kawasan Parlimen lain termasuk kawasan yang akses Ahli Parlimennya ke portal MyKhas turut disekat.
“Selain Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Subang, terkini termaklum bahawa peruntukan Ahli Parlimen Ampang turut disekat.
“Persoalannya, adakah ahli-ahli Parlimen lain yang turut disekat daripada mengakses MyKhas mengalami situasi sama di mana peruntukan kawasan mereka disalurkan kepada pimpinan parti kerajaan di kawasan masing-masing?” soalnya lagi.
Chean Chung turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penjelasan sama ada mekanisme berkenaan mematuhi prinsip tadbir urus, integriti dan undang-undang atau wajar disiasat bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa serta konflik kepentingan.
Pada masa sama, beliau meminta parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan termasuk DAP dan Amanah menyatakan pendirian berhubung dakwaan bahawa dana awam boleh diuruskan pemimpin parti politik tanpa makluman rasmi kepada rakyat.
“Saya sekali lagi menegaskan bahawa isu ini bukan mengenai kepentingan seorang ahli Parlimen. Isunya ialah ketelusan, akauntabiliti dan hak rakyat Petaling Jaya untuk mengetahui siapakah yang kini menguruskan baki RM3 juta peruntukan kawasan mereka, berdasarkan kuasa apa, melalui prosedur apa dan dengan mekanisme semak dan imbang yang bagaimana.
“Kerajaan wajib memberikan jawapan yang jelas dan terbuka kepada rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















