PUTRAJAYA – Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dihukum penjara 30 tahun kerana mengedar dadah selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan pembebasannya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid memerintahkan pengasas ‘Bapakku FM’ itu menjalani hukuman bermula hari ini.
Mahkamah memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ismahalil, 53, pada September 2021.
Hakim Radzi yang membacakan keputusan itu berkata, terdapat alasan yang mencukupi bagi membolehkan pihaknya mengubah dapatan hakim Mahkamah Tinggi di akhir kes pembelaan.
“Kami mendapati responden gagal membangkitkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan gagal memintas anggapan pemilikan dan pengedaran dadah berada di bawah kawalannya.
“Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan responden (Ismahalil) daripada pertuduhan,” katanya.
Katanya, keputusan itu digantikan dengan sabitan bagi kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Ketika prosiding, peguam mewakili Ismahalil, Hermes Media Putra Ibrahim memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya yang juga pencari nafkah tunggal keluarga.
“Saya memohon hukuman ringan terhadap responden berdasarkan faktor usia serta tanggungan pendapatan yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon pertimbangan hukuman penjara terhadap responden.
“Saya percaya umur responden melebihi 50 tahun tidak dikenakan hukuman sebatan. Jadi, saya mohon pertimbangan hukuman mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Pada 17 Julai 2023, media melaporkan Ismahalil dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis di rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada September 2011.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhi hukuman itu terhadap pengasas ‘Bapakku FM’ itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.
Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, 5.35 petang 27 Ogos 2021. – MalaysiaGazette
















