Bibi Sunita Sakandar Khan

KUALA LUMPUR — Kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mempertikaikan dapatan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung cadangan pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PRKT) bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disifatkan tidak wajar jika hanya kerana hasil kajian itu tidak selari dengan pendirian politiknya.

Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, dapatan penyelidikan tidak seharusnya ditolak hanya kerana kesimpulannya tidak memenuhi kehendak atau cita rasa politik mana-mana pihak.

Menurutnya, jika setiap kajian akademik ditolak apabila hasilnya tidak menyokong pendirian ahli politik tertentu, ia akan menjejaskan nilai serta kewibawaan institusi penyelidikan negara.

“UIAM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai reputasi antarabangsa serta tradisi penyelidikan yang diiktiraf.

“Kajian mengenai kebolehlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan bukan disediakan secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dijalankan sejak Disember 2025 atas mandat kerajaan bagi menilai pelbagai dimensi perundangan, pentadbiran, kewangan dan implikasi dasar,” katanya dalam kenyataan.

Lip Eng sebelum ini mendakwa terdapat beberapa percanggahan dalam kajian UIAM yang menolak pelaksanaan pilihan raya tempatan bagi DBKL.

Dalam pada itu, Bibi Sunita berkata, persoalan utama bukan sama ada seseorang ahli politik bersetuju atau tidak dengan dapatan kajian berkenaan sebaliknya sama ada beliau mampu membuktikan metodologi, analisis dan kesimpulannya mempunyai kecacatan dari sudut akademik.

Katanya, jika perkara itu tidak dapat dibuktikan, kritikan yang dibuat hanya bersifat pendapat politik dan bukannya penilaian ilmiah.

“Lebih membimbangkan, tindakan menolak keseluruhan hasil kajian hanya kerana mendakwa terdapat beberapa percanggahan yang memerlukan penjelasan memperlihatkan kecenderungan memilih kesimpulan politik lebih awal daripada menghormati proses penyelidikan,” katanya.

Menurutnya, sebarang persoalan terhadap sesuatu kajian sewajarnya dijawab melalui wacana ilmiah, semakan rakan sebaya, kritikan terhadap metodologi atau penyelidikan susulan, bukannya penolakan secara politik.

Dalam pada itu, Bibi Sunita berpandangan, pelaksanaan PRKT bukan keutamaan rakyat ketika negara masih berdepan pelbagai cabaran seperti kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah, pengangkutan awam, keselamatan bandar, kebersihan, banjir kilat dan pengurusan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, penambahan satu lagi lapisan pilihan raya juga boleh meningkatkan kos kepada kerajaan dan pembayar cukai selain memanjangkan suhu politik hingga ke peringkat kerajaan tempatan.

“PRKT juga berpotensi membuka ruang kepada persaingan politik lebih sengit dalam pentadbiran bandar serta mengalihkan fokus PBT daripada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan sistem sedia ada diperkukuhkan menerusi reformasi pentadbiran termasuk meningkatkan ketelusan, memperkukuh audit prestasi, memperluaskan libat urus awam, memperketat mekanisme integriti serta memastikan pelantikan ahli majlis berdasarkan kompetensi dan kepakaran.

Katanya, sebelum ini kerajaan sendiri mempertahankan keupayaan UIAM sebagai institusi penyelidikan yang berwibawa ketika universiti berkenaan dipilih menjalankan kajian berhubung pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana ahli politik menolak hasil penyelidikan hanya kerana dapatan tersebut tidak menyokong agenda yang diperjuangkannya.

“Negara ini memerlukan dasar yang dibina atas fakta, bukti dan penyelidikan, bukannya semata-mata retorik politik,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha UIAM menjalankan penyelidikan secara bebas, profesional dan berintegriti.

Menurutnya, sebarang cadangan pembaharuan terhadap sistem pentadbiran tempatan perlu diputuskan berdasarkan kepentingan nasional, kesejahteraan rakyat serta bukti empirikal yang kukuh, bukannya tekanan politik atau kepentingan mana-mana parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast