PUTRAJAYA – Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman menarik balik rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung inkuiri aduan berkaitan isu pertikaian tanah di Rawang Perdana, dekat sini.
Perkara itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Muhammad Hariz Md. Yusoff yang mewakili Yayasan Kubra selepas prosiding tersebut di Mahkamah Rayuan hari ini.
Persatuan itu mengemukakan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengetepikan perintah awal Mahkamah Majistret Selayang supaya inkuiri aduan diadakan berhubung isu binaan struktur rumah anutan haram di kawasan tersebut.
Berikutan perkembangan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membatalkan rayuan tersebut hari ini.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid turut memerintahkan persatuan itu membayar kos RM10,000 kepada Yayasan Kubra selaku responden.
Dengan keputusan itu, perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membatalkan keputusan Mahkamah Majistret Selayang, dimuktamadkan sepenuhnya.
Pada 31 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Suriyati Hasimah Mohd Hashim mengetepikan perintah awal Mahkamah Majistret selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan oleh Yayasan Kubra.
Pada prosiding itu, peguam Amanda Sonia Mathew yang mewakili persatuan memaklumkan, beliau mendapat arahan anak guamnya untuk menarik balik rayuan tersebut tanpa kos dan tanpa kebebasan memfailkannya semula.
Bagaimanapun, Muhammad Hariz membantah perkara itu dengan menyatakan bahawa kerja-kerja guaman telah dibuat sepenuhnya termasuk memfailkan notis usul, afidavit sokongan dan penghujahan bagi membatalkan rayuan tersebut.
Selain Muhammad Hariz, barisan peguam terdiri daripada peguam utama Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Arham Rohimy Hariri, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md. Rofiee, Danial Farhan Zainul Rijal, Muhammad Iz’aan Azalan dan Nur Syafiqah Shafiyah Omar hadir mewakili Yayasan Kubra.
Sementara itu, Ustaz Ismail Mina dan Ustaz Ariff Omar mewakili Yayasan Kubra hadir mengikuti prosiding tersebut.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang memutuskan, wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah yang menempatkan binaan kuil terbabit.
Majistret Chai Guan Hock kemudiannya memerintahkan perintah awalan kedua-dua pihak yang terlibat dalam pertikaian tersebut hadir ke mahkamah untuk pendengaran inkuiri di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Majistret juga meminta mereka memfailkan kenyataan bertulis berkenaan milikan sebenar terhadap tanah tersebut.
Majistret juga memerintahkan, salinan perintah disampaikan kepada pihak-pihak yang dinamakan dalam kes saman tersebut menurut CPC.
Katanya, salinan perintah perlu dipamerkan di tanah tersebut iaitu di kawasan Rawang Perdana 2. – MalaysiaGazette
















