KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun merupakan antara 25 penagih dadah yang ditahan dalam Operasi Cegah Khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis.
AADK Perlis dalam satu kenyataan berkata, remaja berkenaan didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Terdahulu, menurutnya, AADK Perlis telah melaksanakan Operasi Cegah Khas di beberapa lokasi tumpuan di seluruh negeri itu bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan penagihan dadah.
Ujarnya, hasil operasi berjaya menahan 25 individu lelaki yang disahkan positif penyalahgunaan bahan terlarang melibatkan 19 kes Methamphetamine; dua kes Opiat dan empat kes penyalahgunaan ketum.
“Lebih membimbangkan, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun turut ditahan selepas disahkan positif dadah jenis Methamphetamine.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa ancaman dadah semakin serius dan mampu menjerat golongan muda seawal usia remaja,” katanya.
Sehubungan itu, AADK Perlis menyeru ibu bapa, penjaga serta seluruh masyarakat agar memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memantau pergaulan dan tingkah laku anak-anak bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah yang mampu memusnahkan masa depan.
Ujarnya, AADK Perlis akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara berterusan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah.
Tambahnya, kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membina komuniti yang selamat, sejahtera dan bebas daripada ancaman dadah.
“Hubungi talian hotline AADK 1-800-22-2235(AADK) atau 019-626 2233 untuk khidmat nasihat, pertanyaan dan aduan.
“Layari aadk.gov.my untuk mendapatkan informasi lebih lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















