Kontinjen USM pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Peringkat Universiti Awam (UA) Ke-18 Tahun 2026.

KUALA LUMPUR – Universiti Sains Malaysia (USM) mengungguli Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Peringkat Universiti Awam (UA) Ke-18 Tahun 2026 selepas merangkul lima anugerah utama, termasuk Anugerah Terbaik Keseluruhan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), semalam.

Kejayaan cemerlang itu didahului oleh inovasi pintar sistem kawalan gas berbahaya yang dinamakan ‘SAFE-GAS’, dibangunkan oleh kumpulan INORVASI dari Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) USM.

Inovasi SAFE-GAS yang berjaya mendahului senarai 53 kumpulan KIK daripada UA seluruh negara itu dibangunkan khusus bagi menangani risiko kebocoran gas toksik dan menghakis seperti hidrogen, ammonia serta klorin yang kerap digunakan di makmal penyelidikan.

Sistem keselamatan automatik dan kos rendah itu menggabungkan pengesan kebocoran gas pintar, mekanisme ‘interlock’ pengudaraan, penutupan bekalan automatik, sistem komunikasi kecemasan serta perekodan data digital bagi tujuan pemantauan dan audit.

Projek berkenaan bukan sahaja dinobatkan sebagai Anugerah Terbaik Keseluruhan, malah turut muncul Johan bagi kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, piala dan sijil penghargaan.

Kontinjen USM pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Peringkat Universiti Awam (UA) Ke-18 Tahun 2026.

Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata, pencapaian lima anugerah utama itu mencerminkan keupayaan warga universiti berkenaan menterjemahkan idea kreatif kepada penyelesaian praktikal yang meningkatkan kecekapan kerja serta kualiti perkhidmatan.

“Pencapaian ini menyerlahkan budaya kreativiti dan penambahbaikan kualiti secara berterusan dalam kalangan warga universiti.

“Ia diharapkan dapat menyuntik inspirasi kepada seluruh warga USM untuk terus membudayakan inovasi dan kreativiti, sekali gus memperkukuh aspirasi universiti memacu kecemerlangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada konvensyen berkenaan, USM menampilkan enam kumpulan mewakili Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB).

Turut mencatatkan kejayaan ialah Kumpulan Transformasi OKU dari Kampus Kesihatan yang meraih Naib Johan kategori Inovasi Sosial (Penciptaan) menerusi projek ‘Modul Latihan Pekerjaan OKU Intelek’, membawa pulang wang tunai RM4,000, piala dan sijil.

Kedudukan Naib Johan bagi kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan) pula dimenangi oleh Kumpulan RAD-TRACKERS dari PKTAAB menerusi projek ‘Sistem Janji Temu Digital Radiologi (RADxAppt)’.

Sementara itu, Kumpulan FACE-EX9 dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) Kampus Induk menerima Anugerah Inovasi Harapan berserta wang tunai RM1,000 bagi kategori Inovasi Sosial (Penambahbaikan) menerusi projek ‘Modul Penghasilan Cendawan Tiram Kaedah MycoBoost’.

Penyertaan kontinjen USM mendapat sokongan penuh Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed serta pengurusan tertinggi universiti, selain dibimbing oleh Pusat Transformasi Insan (PTI) selaku sekretariat KIK USM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast