SERI MENANTI – Kerajaan Negeri Sembilan akan melantik seorang wakil daripada MIC yang diberi taraf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah Pejabat Menteri Besar bagi memastikan masyarakat India terus mempunyai wakil dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, pelantikan itu dibuat berikutan tiada wakil masyarakat India dalam barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mengangkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti hari ini.
Menurut beliau, wakil berkenaan akan dilantik dalam kalangan pimpinan masyarakat India dan ditempatkan di bawah Pejabat Menteri Besar dengan taraf Exco.
“Kita tidak mempunyai wakil masyarakat India dalam barisan Exco yang mengangkat sumpah hari ini.
“Justeru, kerajaan negeri akan melantik seorang wakil daripada MIC di bawah Pejabat Menteri Besar yang akan diberi taraf Exco,” katanya selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco hari ini.
Ismail berkata, langkah itu diambil bagi memastikan suara dan kepentingan masyarakat India terus mendapat perhatian dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri turut bercadang melantik seorang Pegawai Khas Orang Asli di bawah Pejabat Menteri Besar.
Katanya, pihaknya akan mendapatkan cadangan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengenal pasti individu yang sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan.
“Perkara itu sedang dipertimbangkan dan kita akan meminta JAKOA mengemukakan nama yang bersesuaian sebelum pelantikan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti Orang Asli, terus diberi perhatian menerusi penyertaan dalam pentadbiran negeri. -MalaysiaGazette
















