Pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pusat Mengundi SK Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 01 OGOS 2026.

SETIAP kali pilihan raya berakhir, perhatian umum segera tertumpu kepada angka. Jumlah kerusi yang dimenangi, majoriti calon, kadar keluar mengundi dan perubahan sokongan menjadi ukuran utama dalam menilai perjalanan demokrasi. Semua angka ini penting. Namun, terdapat satu dimensi yang masih jarang dinilai secara sistematik, iaitu sama ada setiap rakyat benar-benar mempunyai peluang komunikasi yang saksama sebelum membuat keputusan di peti undi.

Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung pada 1 Ogos 2026 menyediakan ruang untuk persoalan ini dibincangkan. Seramai 889,490 pengundi berdaftar layak memilih dalam pilihan raya tersebut. Selepas keputusan diumumkan, sebahagian besar analisis tertumpu kepada prestasi parti, pola pengundian dan implikasinya terhadap landskap politik. Perbincangan itu penting, tetapi kualiti demokrasi tidak seharusnya dinilai hanya melalui keputusan selepas pengundian. Kualiti komunikasi yang diterima rakyat sebelum mereka mengundi juga perlu diberikan perhatian.

Sepanjang tempoh pilihan raya, pelbagai kemudahan komunikasi disediakan bagi menyokong penyampaian maklumat dan liputan media. Kementerian Komunikasi, dengan
penglibatan Jabatan Penerangan Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, membuka tiga pusat media utama di Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah. Sebanyak 60 Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau NADI turut diaktifkan sebagai pusat media sokongan di seluruh Negeri Sembilan. MCMC pula membuka kaunter aduan bagi memantau isu liputan Internet, gangguan telekomunikasi, kandungan dalam talian, penipuan dan penyamaran.

Usaha ini menunjukkan komunikasi sememangnya diiktiraf sebagai komponen penting dalam pengurusan pilihan raya. Namun, ketersediaan infrastruktur dan banyaknya kandungan yang diterbitkan belum tentu menghasilkan pengalaman komunikasi yang saksama. Maklumat boleh tersedia di laman sesawang, media sosial atau portal berita, tetapi masih belum tentu mudah dicari, difahami, dipercayai dan digunakan oleh semua pengundi. Inilah yang dimaksudkan sebagai akses komunikasi demokrasi.

Konsep ini merujuk kepada keupayaan setiap rakyat untuk memperoleh maklumat yang sahih, memahami kandungannya, menilai kewibawaan sumber dan menggunakannya bagi membuat keputusan secara bermaklumat. Ia bukan tuntutan untuk memberikan kelebihan kepada mana-mana parti. Sebaliknya, akses komunikasi demokrasi menegaskan bahawa hak mengundi perlu disokong oleh peluang yang saksama untuk mendapatkan komunikasi yang boleh dicapai, difahami dan dipercayai.

Keperluan ini semakin mendesak dalam landskap digital Malaysia. Laporan Digital 2026 Malaysia merekodkan 35.4 juta pengguna Internet di negara ini pada penghujung 2025, bersamaan kadar penembusan Internet sebanyak 98 peratus. Malaysia juga mempunyai 30.7 juta identiti pengguna media sosial, bersamaan kira-kira 85 peratus daripada jumlah penduduk. Angka ini menunjukkan bahawa ruang digital sudah menjadi saluran utama kehidupan dan komunikasi masyarakat, tetapi capaian yang tinggi tidak semestinya membawa kepada kefahaman yang tinggi.

Cara rakyat mendapatkan berita turut berubah. Digital News Report 2025 melaporkan bahawa lebih dua pertiga responden Malaysia menggunakan media sosial untuk
mendapatkan berita setiap minggu, manakala empat daripada setiap 10 responden menggunakan TikTok sebagai sumber berita mingguan. Digital News Report 2026 pula
menunjukkan penggunaan TikTok untuk berita di Malaysia sudah melebihi 40 peratus. Ini bermakna maklumat pilihan raya kini bergerak bukan sahaja melalui televisyen, radio dan portal berita, tetapi juga melalui video pendek, pencipta kandungan, aplikasi pesanan segera dan algoritma platform.

Perubahan tersebut membawa satu cabaran besar. Dalam ruang digital yang padat, rakyat tidak hanya menerima maklumat rasmi. Mereka turut terdedah kepada pendapat, petikan yang terpisah daripada konteks, kandungan tajaan, imej yang disunting, akaun penyamaran dan dakwaan yang belum disahkan. Oleh itu, kejayaan komunikasi pilihan raya tidak boleh diukur berdasarkan jumlah kenyataan media, hantaran atau video yang diterbitkan semata-mata. Ukuran yang lebih bermakna ialah sama ada rakyat dapat menemukan maklumat rasmi, memahaminya dan membezakan fakta daripada kandungan yang mengelirukan.

Pengalaman komunikasi juga tidak seragam. Warga emas, orang kurang upaya, pengguna teknologi bantuan, masyarakat yang mempunyai tahap literasi digital berbeza dan individu dengan capaian rangkaian yang tidak konsisten boleh berhadapan dengan halangan berlainan. Bahan berbentuk imej tanpa penerangan teks mungkin tidak dapat dibaca oleh teknologi pembaca skrin. Video tanpa sari kata mengehadkan akses pengguna pekak atau kurang pendengaran. Bahasa yang terlalu teknikal pula boleh menyebabkan maklumat tersedia, tetapi gagal difahami.

UNESCO menempatkan kebebasan bersuara, akses kepada maklumat dan penyertaan politik sebagai hak penting dalam proses pilihan raya. UNESCO turut mengingatkan Internet dan media sosial membuka peluang kepada demokrasi, tetapi pada masa yang sama menyediakan ruang kepada maklumat palsu, ucapan kebencian dan kandungan berbahaya yang boleh menjejaskan integriti pilihan raya. Hal ini mengukuhkan keperluan untuk melihat komunikasi bukan sebagai aktiviti sokongan semata-mata, tetapi sebagai sebahagian daripada mutu proses demokrasi.

Sudah tiba masanya Malaysia menilai akses komunikasi demokrasi secara lebih sistematik. Langkah pertama ialah menilai pengalaman sebenar pengguna terhadap laman sesawang, media sosial dan bahan penerangan rasmi selepas setiap pilihan raya. Penilaian boleh dilakukan melalui tinjauan ringkas, kumpulan fokus dan ujian kebolehgunaan yang melibatkan pengundi muda, warga emas, orang kurang upaya serta masyarakat bandar dan luar bandar.’

Langkah kedua memasukkan keperluan komunikasi inklusif ke dalam prosedur penerbitan maklumat pilihan raya. Setiap video penting perlu mempunyai sari kata yang tepat, infografik perlu disertakan penerangan teks, dokumen digital perlu serasi dengan teknologi bantuan dan maklumat utama perlu ditulis dalam bahasa yang jelas. Langkah ini perlu dilaksanakan sejak peringkat perancangan, bukan ditambah selepas bahan diterbitkan.

Langkah ketiga ialah memperkukuh literasi media melalui kerjasama antara Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Komunikasi, MCMC, organisasi media, institusi pengajian tinggi dan masyarakat sivil. Kandungan literasi media perlu menunjukkan cara menyemak sumber rasmi, mengenal pasti penyamaran, menilai dakwaan dan melaporkan kandungan berbahaya. Penerangan yang praktikal lebih berguna daripada peringatan umum supaya rakyat “berhati-hati”.

Akses komunikasi demokrasi tidak menggantikan ukuran seperti kadar keluar mengundi, integriti pengundian atau keputusan pilihan raya. Ia melengkapkan ukuran tersebut dengan menilai sama ada rakyat mempunyai peluang yang adil untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat berkualiti.

Demokrasi yang matang bukan sekadar memastikan setiap rakyat boleh mengundi. Demokrasi yang matang memastikan setiap rakyat, termasuk mereka yang mempunyai
keperluan komunikasi berbeza, dapat menerima, memahami, menilai dan menggunakan maklumat sebelum menentukan pilihan. Sudah tiba masanya akses komunikasi demokrasidiberikan tempat yang sewajarnya dalam penilaian kualiti demokrasi negara.

Dr. Mastura Mahamed
Pensyarah Kanan
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast