Gambar hiasan

Derma darah perlu dibudayakan sebagai tanggungjawab sosial – KKM

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru masyarakat khususnya golongan belia supaya menjadikan pendermaan darah secara berkala sebagai amalan gaya hidup dan tanggungjawab sosial bagi memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi serta selamat.

Menurutnya, usaha membudayakan pendermaan darah perlu diterapkan sejak usia muda kerana golongan belia merupakan pewaris kepada komuniti penderma darah negara pada masa hadapan.

KKM berkata, bekalan darah yang stabil amat penting bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit termasuk mangsa kemalangan, pesakit yang menjalani pembedahan, komplikasi kehamilan dan kelahiran, kanser, talasemia serta pelbagai keadaan perubatan lain yang memerlukan transfusi darah.

Di Malaysia, antara 2,200 hingga 2,400 beg darah diperlukan setiap hari bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, kira-kira 600 hingga 700 beg darah digunakan setiap hari di hospital KKM, manakala selebihnya diperlukan oleh hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta.

“Bekalan darah yang stabil hanya dapat dipastikan menerusi komitmen penderma darah yang tampil secara sukarela dan menderma secara konsisten.

“Pembudayaan pendermaan darah bukan sekadar kempen bermusim, sebaliknya perlu menjadi amalan gaya hidup sihat dan tanggungjawab sosial masyarakat,” menurut PDN sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia (WBDD) 2026.

PDN mengadakan sambutan peringkat kebangsaan hari ini sebagai penghargaan kepada semua penderma darah sukarela yang membantu memastikan kelangsungan bekalan darah negara serta menyelamatkan nyawa ribuan pesakit setiap tahun.

Hari Penderma Darah Sedunia disambut pada 14 Jun setiap tahun dengan tema “Setitis Darah, Demi Kemanusiaan; Derma Darah, Selamatkan Nyawa”
ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menghargai jasa penderma darah sukarela dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah.

Katanya, PDN bersama rangkaian tabung darah hospital di seluruh negara akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif termasuk program jangkauan komuniti, kempen bergerak, kerjasama strategik dan pendidikan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pendermaan darah secara konsisten.

Selain itu, PDN turut mempergiat usaha meningkatkan penyertaan penderma plasma serta memperkukuh penglibatan generasi muda dalam aktiviti pendermaan darah bagi memastikan bekalan darah yang mencukupi dan selamat pada masa hadapan.

KKM turut menyeru lebih ramai rakyat Malaysia yang sihat dan layak tampil sebagai penderma darah tetap, dengan satu pendermaan darah secara berkala berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa.

Jelasnya, kejayaan sistem transfusi darah negara bukan sahaja bergantung kepada pertambahan penderma baharu, malah memerlukan penderma yang menderma secara konsisten dan berkala sepanjang tahun.

“KKM merakamkan penghargaan kepada semua penderma darah sukarela di seluruh negara atas jasa, pengorbanan dan komitmen berterusan dalam memastikan bekalan darah negara kekal mencukupi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast