M. Kumar

 

KUALA LUMPUR – Dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika serbuan bagi menyelamatkan dua mangsa culik di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar di sini, malam semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.40 malam.

Menurutnya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman yang sedang menjalankan serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan.

Dua suspek yang dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 9.30 malam.

Setakat ini, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek.

Dalam operasi itu, polis berjaya menyelamatkan dua mangsa, masing-masing seorang lelaki dan wanita warga asing masing-masing berusia 70-an dan 30-an.

Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari ketika diselamatkan.

Polis turut menemui dua pucuk pistol semi-auto jenis Baretta yang mengandungi lima butir peluru dan revolver mengandungi empat butir peluru, selain sebilah parang panjang berhampiran suspek.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebatan.

Susulan kejadian itu, beberapa serbuan berasingan dilancarkan dan polis berjaya menahan enam individu terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, lima warga asing termasuk seorang wanita berusia antara 20-an hingga 40-an.

Kesemua suspek ditahan di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

M. Kumar berkata, kes masih dalam peringkat siasatan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Satu sidang media berkaitan insiden itu dijadualkan diadakan pada hari Isnin ini, 10 Ogos 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast