Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada Konvensyen Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2026.

 

KUALA LUMPUR – Platform media sosial diingatkan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada kecerdasan buatan (AI) dalam melakukan moderasi kandungan kerana teknologi itu masih mempunyai kelemahan memahami konteks penggunaan bahasa tertentu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah ditegaskan kepada pengendali platform termasuk TikTok susulan kebimbangan kandungan berbentuk buli siber atau berunsur jenayah mungkin terlepas daripada pengesanan.

Antara contoh yang dikenal pasti adalah kandungan dalam bahasa Tamil apabila sistem AI mungkin tidak dapat memahami konteks penggunaan bahasa itu dengan tepat.

“Kita melihat ada isu kronik terutama bagi komuniti India yang menggunakan bahasa Tamil kerana AI mungkin tidak memahami konteks penggunaan bahasa.

“Apabila AI tidak memahami konteks bahasa, buli siber atau perkara-perkara berunsur jenayah mungkin lebih mudah berleluasa.

“Jadi saya telah sampaikan kepada TikTok bahawa isu bahasa ini tidak boleh kita serahkan sepenuhnya kepada AI,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall, Cheras, hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada Konvensyen Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2026.

Fahmi berkata, penggunaan teknologi AI untuk membantu proses moderasi kandungan bukan menjadi masalah, namun platform perlu mengambil kira keterbatasannya terutama dalam memahami konteks bahasa yang digunakan masyarakat.

Menurutnya, perkara itu menjadi lebih penting apabila terdapat platform yang mengurangkan jumlah moderator manusia dan semakin bergantung kepada AI untuk melakukan tugas berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, platform media sosial perlu melakukan penyesuaian terhadap sistem masing-masing bagi memastikan pematuhan kepada Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC).

Katanya, kedua-dua kod itu antara langkah bagi memastikan platform tidak menjadi ‘lubuk’ kepada aktiviti yang memudaratkan pengguna termasuk scam, perjudian dalam talian dan buli siber.

Platform diberikan masa untuk meneliti keperluan yang ditetapkan serta melakukan perubahan sewajarnya terhadap sistem masing-masing.

Beliau memberi amaran kegagalan memenuhi kewajipan ditetapkan boleh membawa kepada tindakan undang-undang termasuk tindakan di mahkamah dan denda yang tinggi.

Sementara itu, Fahmi berkata, usaha memastikan Internet lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada kerajaan, sekolah dan platform semata-mata.

Sebaliknya, ibu bapa mempunyai peranan besar kerana mereka lazimnya menentukan peranti dan aplikasi yang digunakan anak-anak, tambah beliau.

Atas sebab itu, Kempen Internet Selamat kini turut memberi tumpuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan mesej keselamatan digital sampai secara langsung kepada ibu bapa.

Menurut Fahmi, ibu bapa perlu memahami ancaman semasa termasuk scam, perjudian dalam talian dan buli siber serta modus operandi pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak.

Mereka juga disaran mengaktifkan fungsi kawalan ibu bapa atau ‘parental control’ pada peranti dan aplikasi yang digunakan anak masing-masing.

Fahmi turut mengingatkan kanak-kanak bawah usia 16 tahun supaya tidak membuka akaun media sosial sendiri bagi mengelakkan mereka terdedah kepada interaksi dengan individu dewasa tidak dikenali yang mungkin mengambil kesempatan.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa boleh membuka dan mengendalikan akaun untuk tujuan pembelajaran atau pendidikan dengan pemantauan sewajarnya.

Beliau turut mengingatkan kanak-kanak tidak seharusnya menganggap AI sebagai ‘kawan, sahabat atau teman’ sebaliknya teknologi itu perlu digunakan dengan pemantauan dan batas yang sesuai.

Kempen Internet Selamat itu merupakan siri ketiga selepas dilaksanakan di Pahang dan Perak sebelum diteruskan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Program berkenaan akan bergerak ke Johor selepas ini sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast