SAO PAULO, Brazil – Kadar penebangan hutan di Amazon tahun lalu jatuh ke paras terendah dalam tempoh sedekad, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada hari Jumaat.
Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Kebangsaan Brazil (INPE) berkata, kawasan hutan seluas 2,874 kilometer persegi (1,110 batu persegi) ditebang dari Ogos 2025 hingga Julai 2026, iaitu penurunan hampir 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Institusi itu mula merekodkan data penebangan hutan menerusi pemantauan satelit pada 2016.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang akan bertanding semula pada pilihan raya Oktober ini, sebelum berikrar untuk menamatkan penyahihan hutan secara haram menjelang 2030.
“Angka ini menunjukkan jika kita mengekalkan kadar semasa, dengan kesungguhan yang telah kita tunjukkan serta menyediakan sumber yang diperlukan, kita mampu mencapainya,” kata Lula ketika data terbaharu itu dibentangkan di Sao Paulo.
Kadar penebangan hutan di Amazon meningkat mendadak ketika pentadbiran bekas presiden berhaluan kanan Jair Bolsonaro, dengan kemuncaknya mencecah 12,500 kilometer persegi pada 2022.
“Di negara ini, kita mengambil isu iklim dengan sangat serius kerana kita bukan golongan yang menafikan kewujudannya. Kita menyaksikan apa yang sedang berlaku,” kata Lula ketika merujuk cuaca ekstrem.
Lula bakal berdepan dengan anak bekas presiden, Flavio Bolsonaro, dalam pilihan raya akan datang.
Tokoh politik veteran berhaluan kiri itu kini mendahului tipis dalam tinjauan pendapat terkini.
Bagaimanapun, kumpulan alam sekitar mengkritik sokongan Lula terhadap projek penerokaan minyak berskala besar di luar pesisir pantai Amazon. – Agensi
















