Muhammad Muzaffarudin Hishammoden menunjukkan kecederaan yang dialaminya Gambar: Ihsan Perkeso.

KUALA LUMPUR — Seorang pekerja syarikat kejuruteraan yang melecur tahap tiga akibat letupan ketika membakar sampah di rumahnya di Felda Mempaga 2, Bentong, Pahang, menerima bayaran RM1,206 menerusi Faedah Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perkeso memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.50 petang pada 23 Jun lalu ketika Muhammad Muzaffarudin Hishammoden membakar sampah menggunakan minyak sebelum berlaku letupan yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan melecur teruk.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.

“Sejurus menerima laporan tersebut, Skuad Perkeso digerakkan bagi membantu mangsa memfailkan tuntutan Faedah Lindung 24 Jam berikutan kejadian itu bukan berkaitan pekerjaan.

“Muzaffarudin merupakan pencarum aktif di bawah Akta 4 dan sebelum ini turut memilih untuk mencarum di bawah Skim Lindung 24 Jam, sekali gus melayakkan beliau menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS),” menurut Perkeso dalam kenyataan hari ini.

Kesan melecur yang dialami Muhammad Muzaffarudin Hishammoden.

Perkeso memberitahu, bayaran FHUS sebanyak RM1,206 disalurkan sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakit selama 67 hari, bermula 23 Jun hingga 28 Ogos 2026.

Menurut Perkeso, pihaknya akan meneliti keperluan bayaran tambahan FHUS sekiranya pegawai perubatan mengesahkan Muzaffarudin masih belum berupaya kembali bekerja dan memerlukan lanjutan tempoh cuti sakit.

“Kejadian itu membuktikan perlindungan ketika berada di luar waktu kerja bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya satu keperluan penting bagi setiap pekerja. Ia berikutan perlindungan sebelum ini lebih tertumpu kepada insiden yang berlaku ketika pekerja sedang menjalankan tugas,” katanya.

Sejak perluasan perlindungan Lindung 24 Jam yang berkuat kuasa 1 Jun lalu, Perkeso merekodkan purata 49 permohonan faedah sehari akibat insiden yang berlaku di luar waktu bekerja.

Sehubungan itu, Perkeso menyeru pekerja supaya terus mencarum di bawah Skim Lindung 24 Jam bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka lebih terjamin, selain menjadi benteng kewangan ketika berdepan musibah di luar waktu kerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast