Papparaidu Veraman

KUALA LUMPUR — Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan pendapatan median isi rumah meningkat kepada RM14,500 sebulan menjelang 2030.

Negeri itu juga komited  menurunkan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar 6.1 peratus menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, Papparaidu Veraman berkata, sasaran itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat secara menyeluruh dan inklusif.

Menurut beliau, pencapaian Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menunjukkan pendekatan kerajaan negeri berada pada landasan tepat apabila pendapatan median isi rumah Selangor meningkat kepada RM10,726 sebulan, mengatasi sasaran asal RM9,290.

“Kadar kemiskinan relatif turut berjaya dikurangkan kepada 8.5 peratus, manakala kemiskinan mutlak menurun daripada 1.7 peratus kepada 0.9 peratus.

“Namun begitu, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini. Melalui RS-2, kerajaan megeri menetapkan sasaran yang lebih tinggi menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sasaran berkenaan akan dipacu menerusi 23 inisiatif di bawah Misi Keempat RS-2 yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang produktif dan inklusif.

Dalam aspek sumber manusia, katanya, isu ketidakpadanan kemahiran merupakan  antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan tenaga kerja Selangor memenuhi keperluan industri.

Sehubungan itu, penubuhan Majlis Kemahiran Pekerjaan Selangor dilihat sebagai langkah strategik untuk menyelaras keperluan industri dengan institusi pendidikan, penyedia latihan serta pembuat dasar.

“Pada masa sama, cadangan penubuhan Pemerbadanan TVET Selangor akan memperkukuh penyelarasan latihan teknikal dan vokasional melalui STDC supaya lebih tersusun, berkualiti dan menepati keperluan ekonomi masa hadapan,’ katanya.

Bagi meningkatkan pendapatan rakyat, Papparaidu berkata, pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan pengukuhan bidang keusahawanan.

Katanya, melalui program PLATS, kerajaan negeri menyasarkan 150,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima latihan, bimbingan, kemahiran digital dan sokongan pengurusan menjelang 2030.

Program GROW dan DANA PLUS pula akan diperluas bagi meningkatkan akses usahawan kepada pembiayaan serta pasaran, sekali gus membantu mereka berkembang secara lebih mampan, katanya.

Dalam usaha membasmi kemiskinan, beliau berkata, pendekatan kerajaan negeri kini beralih daripada konsep bantuan semata-mata kepada pemberdayaan ekonomi.

Jelasnya, RS-2 memperkenalkan Indeks Kehidupan Bermaruah Selangor bagi menilai keberkesanan program bantuan secara berkala berdasarkan perubahan sebenar terhadap kehidupan penerima.

“Penerima bantuan yang masih berupaya bekerja akan dipadankan dengan latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan program peningkatan pendapatan supaya mereka mampu keluar daripada kitaran kemiskinan secara mampan,” katanya.

Kerajaan Negeri Selangor juga akan memastikan masyarakat orang asli dan komuniti minoriti tidak tercicir daripada arus pembangunan.

“Prinsip ‘No One Will Be Left Behind’’ akan terus menjadi panduan dalam pelaksanaan dasar dan program negeri, termasuk memperluas akses kepada pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan ekonomi.

“Saya yakin Rancangan Selangor Kedua bukan sekadar menetapkan sasaran ekonomi, tetapi turut membina asas kepada sebuah negeri yang lebih adil, inklusif dan berdaya saing.

“Kejayaan pelan ini akhirnya akan diukur bukan hanya melalui angka pertumbuhan ekonomi, tetapi melalui peningkatan pendapatan rakyat, pengurangan kemiskinan, peluang pekerjaan yang lebih berkualiti serta keupayaan setiap lapisan masyarakat menikmati hasil pembangunan secara bersama,” katanya. –  MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast