KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan secara menyeluruh dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar siasatan dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya dan memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pertemuan yang berlangsung lebih sejam di Istana Bukit Tunku, di sini, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan taklimat mengenai Laporan Siasatan RCI TH, selain perkembangan semasa berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Baginda turut menggesa, kementerian serta agensi yang berkaitan meningkatkan kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.
Sultan Ibrahim bertitaj. langkah berkenaan bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette
















