Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang dilihat paling ideal buat kedua-dua gabungan parti itu.

Menurut pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, kerjasama BN-PH berpotensi untuk memenangi kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Melaka.

Dalam masa sama, kata beliau, dengan kekuatan semasa, tidak sukar untuk PH bersetuju untuk bertanding di baki tujuh kerusi DUN yang tidak disandang oleh BN.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

“Penggal DUN Melaka akan berakhir pada 26 Disember 2026 nanti, jika tidak dibubarkan lebih awal, dewan akan terbubar dengan sendiri pada tarikh tersebut dan pilihan raya perlu diadakan dalan tempoh 60 hari selepas dewan dibubar atau terbubar.

“Dengan kata lain, masih ada sedikit masa untuk BN mengkaji dan menganalisis kemungkinan-kemungkinan terbaik untuk mereka.

“Sebaiknya tinjau dahulu apa pandangan, sikap dan hasrat pengundi Melaka terhadap pilihan-pilihan tersebut, kerana pengundi yang akan memilih nanti,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Mohd Yusri yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT berkongsi pandangan berkenaan pilihan yang boleh dibuat BN dalam menuju PRN Melaka.

Kepada pilihan bertanding solo, ujarnya, sokongan terhadap BN secara umumnya memang ada peningkatan mutakhir ini.

Namun dalam konteks Melaka, jelas beliau, bertanding solo bukanlah pilihan paling baik, kerana terdapat risiko besar sedang menanti.

Sementara itu, tambahnya, berkenaan pilihan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pula, sekiranya kerjasama boleh diterjemahkan seperti model Negeri Sembilan, gabungan BN-PN berpotensi menang sehingga 24 daripada 28 kerusi.

“Tapi cabaran besar adalah untuk mencapai konsesus pembahagian kerusi.

“Agak sukar untuk BN melepaskan mana-mana 21 kerusi yang disandang sekarang, dalam masa sama agak sukar juga untuk PN bertanding hanya tujuh kerusi, apatah lagi empat daripada tujuh kerusi tersebut berpotensi dimenangi PH,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast