Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas A bersama seorang kru warga Indonesia yang telah ditahan oleh Maritim di perairan Kuala Selangor, awal pagi tadi. - Foto Maritim Malaysia

KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas A bersama seorang kru warga Indonesia kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan Kuala Selangor awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira 0.5 batu nautika selatan Kuala Selangor pada jam 2.55 pagi ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama kru warga Indonesia berusia 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kru warga asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Pemeriksaan turut mendapati vesel tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen apabila menggunakan pukat tunda bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan,” katanya dalam kenyataan.

Vesel bersama tekong dan kru berkenaan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Penahanan itu dilakukan ketika bot Maritim Malaysia melaksanakan rondaan menerusi Op Ehsan, Op Tiris dan Op Khas Tanjung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast