Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mencadangkan agar audit forensik secara menyeluruh dan berterusan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilaksanakan segera dan diselesaikan dalam tempoh setahun.

Langkah itu kata beliau, bertujuan bagi meneliti keputusan pelaburan yang didakwa menyebabkan institusi itu mengalami kerugian serta penurunan nilai aset yang teruk.

Katanya, audit forensik bebas itu penting bagi menjejaki aliran dana selain mengenal pasti kemungkinan berlaku penipuan, salah guna kuasa dan kecuaian dalam pengurusan dana TH.

“Kelemahan tadbir urus dan ketirisan yang kompleks dalam pengurusan dana TH memerlukan siasatan menyeluruh supaya pihak yang bertanggungjawab dapat dikenal pasti.

“Memandangkan terdapat kelemahan tadbir urus dan ketirisan yang amat kompleks dalam pengurusan dana TH, audit forensik secara menyeluruh dan berterusan mesti dilaksanakan dengan segera dan disiapkan dalam tempoh setahun.

“Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dana TH sama ada melalui penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika membahaskan sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Muhyiddin, Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 turut mendedahkan kewujudan transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat dalam beberapa keputusan pelaburan terdahulu.

Katanya, laporan itu turut menyenaraikan 14 entiti dan pelaburan bermasalah yang dicadangkan untuk menjalani audit forensik.

Antaranya ialah PT TH Indo Plantations, Emrail Sdn Bhd, Wellspring Worldwide Limited, Deru Semangat Sdn Bhd, Trurich Resources Sdn Bhd dan Abraj Sdn Bhd.

Muhyiddin berkata, lebih membimbangkan apabila kerugian TH didakwa ditutup melalui amalan creative accounting atau perakaunan kreatif sehingga kerajaan ketika itu tetap mengumumkan TH mencatatkan keuntungan.

“Sedangkan hakikatnya, sebagaimana ditunjukkan dalam laporan RCI, TH rugi berbilion ringgit,” ujarnya.

Beliau turut membangkitkan teguran terhadap Ketua Audit Negara yang memberikan sijil audit bersih kepada TH berdasarkan laporan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berharap syor RCI supaya amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi TH dihentikan.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.

“Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi TH termasuk anak-anak syarikat TH hendaklah berasaskan merit, integriti, kelayakan profesional, serta pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang dan syariah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast