KUALA LUMPUR – Semua pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian dan kemelut kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dipanggil, disiasat dan jika didapati bersalah dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.
Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, perkara itu selaras dengan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyatakan anggota Lembaga TH, lembaga pengarah anak syarikat, pengurusan serta kakitangan yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan atas kerugian dialami institusi berkenaan.
Menurutnya, isu TH bukan berlaku secara kebetulan sebaliknya terdapat pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap keadaan institusi itu sehingga mencapai tahap kritikal pada 2017.
Beliau turut menegaskan, dakwaan bahawa aset TH dijual kepada bukan Islam perlu dihentikan kerana Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) bukan milik individu atau entiti asing, sebaliknya dimiliki Kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
“Naratif yang mengaitkan penstrukturan aset TH dengan kaum dan agama sebelum ini telah menjejaskan usaha pemulihan institusi berkenaan, termasuk terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
“Dapatan RCI sendiri mengiktiraf pelan pemulihan dan penstrukturan TH 2018 sebagai penting bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Syahredzan membangkitkan persoalan mengenai penamatan perkhidmatan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohamad Hasyudeen Yusoff dan bekas Pengerusi TH, Tan Sri Mohamad Nor Mohamad Yusof.
Menurut Syahredzan, RCI mendapati, kedua-dua mereka yang dilantik pada era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 ditamatkan perkhidmatan lebih awal dan secara mengejut sekali gus memberi kesan terhadap proses penambahbaikan TH.
Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab ketika itu perlu memberikan penjelasan berhubung keputusan berkenaan kerana rakyat berhak mengetahui sebab kedua-dua individu itu ditamatkan perkhidmatan sebelum tamat tempoh kontrak.
Syahredzan turut meminta Jabatan Audit Negara memberikan penjelasan berhubung teguran RCI mengenai penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017.
Katanya, RCI mendapati, Jabatan Audit Negara tidak sepatutnya memberikan sijil audit bersih bagi tahun kewangan berkenaan selain gagal menegur TH berhubung pemberian keuntungan atau hibah yang tinggi dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada pertimbangan atau tekanan politik mempengaruhi ketegasan audit ketika itu.
“Rakyat berhak tahu,” katanya sambil menggesa Jabatan Audit Negara dan Ketua Audit Negara menjelaskan tindakan yang telah diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Syahredzan turut menegaskan, ahli lembaga TH mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap institusi berkenaan dan tidak boleh mengelak daripada tanggungjawab apabila berlaku masalah.
Beliau meminta penjelasan mengenai dakwaan penglibatan bekas Pengerusi TH dan bekas Ahli Parlimen Baling dalam rundingan transaksi berkaitan Hotel Abraj dan Arrauda yang disenaraikan sebagai antara pelaburan bermasalah TH.
Dalam pada itu, beliau berkata, DAP menyokong titah Yang di-Pertuan Agong supaya siasatan berhubung RCI TH dijalankan sehingga ke akar umbi.
“DAP mahu semua yang bertanggungjawab terhadap situasi Lembaga Tabung Haji dibawa ke muka pengadilan.
“Kepada pihak berkuasa, jalankan tugas anda tanpa rasa takut dan memihak. Kami bersama anda,” katanya.
Syahredzan turut menegaskan DAP menyokong usaha pemulihan TH yang sedang berjalan dan mahu episod kemelut institusi berkenaan tidak berulang.
“Never again. Jangan lagi berlaku perkara seperti ini. Kita ambil iktibar dan pengajaran supaya kita tidak melihat lagi kerosakan yang kita lihat dalam Lembaga Tabung Haji,” katanya. – MalaysiaGazette

















kesimpulanya adallah kerugian tabung haji berlaku kerrana hasutan dan fitnah menyebabkan ramai pendeposit mengeluarkan sumpanan mereka. cari dan dakwalah penghasut dan pemfitnahnya. heret ke muka pengadilan. kalau muka penghasut dan pemfitnah ni siapa agaknya ya. mungkin orang pmx lah sebab nak jatuhkan kerajaan waktu itu.