Amir Hamzah Azizan hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan syarikat pembangunan dan pengurusan hartanah Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development, mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM1.86 bilion setakat 2024.

Ia merupakan antara tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah yang dikenal pasti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerugian itu berpunca daripada perjanjian pajakan membabitkan empat hotel di Madinah yang sepatutnya digunakan sebagai penempatan jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, antara 2015 hingga 2017, TH membayar RM1.5 bilion sebagai sebahagian daripada perjanjian pajakan dengan Al-Rawda.

“Al-Rawda mula gagal membayar sewa kepada Tabung Haji sejak suku pertama 2019, menyebabkan kerugian berjumlah RM1.86 bilion setakat 2024,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan mengenai laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata, perkara itu berlaku walaupun Al-Rawda gagal menyediakan jaminan bank dan melengkapkan proses usaha wajar (due diligence).

Katanya, TH tetap meneruskan perjanjian berkenaan dengan hanya bergantung kepada nota peribadi seorang individu yang tidak dinamakan.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN – Putrajaya) sama ada keempat-empat hotel tersebut digunakan sepenuhnya oleh jemaah haji Malaysia, Amir Hamzah berkata, pihak ketiga gagal menyediakan penempatan berkenaan ketika musim haji

Bagaimanapun beliau menjelaskan, hotel-hotel tersebut telah disewakan selepas musim haji untuk pulangan selebihnya.

“Apa yang ada dalam tangan Tabung Haji adalah nota perjanjian itu sahaja, dan sedikit pun tidak dapat kepada kita.

“Ini urus niaga yang cacat sejak awal, berat sebelah dan gagal melindungi umat Islam di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast