Bangunan Menara Tabung Haji.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan bahawa aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada golongan bukan Islam atau Cina ketika proses penstrukturan semula institusi itu pada 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, aset berkenaan dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

“Tiada aset dijual kepada bukan Islam atau kepada Cina seperti didakwa pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika memberikan penjelasan kerajaan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zulkifli, TH memindahkan aset berprestasi rendah dan bermasalah bernilai RM9.7 bilion kepada UJSB pada nilai RM19.9 bilion bagi membantu menutup jurang aset dan liabiliti institusi berkenaan yang ketika itu berjumlah kira-kira RM10 bilion.

Urus niaga tersebut melibatkan 100 saham syarikat tersenarai, 29 hartanah serta sebuah syarikat perladangan kelapa sawit.

Zulkifli berkata, pengambilalihan itu dibiayai UJSB melalui penerbitan sukuk yang dilanggan sepenuhnya oleh TH.

Katanya, TH turut diberikan Hak Keutamaan Membeli (ROFR), yang memberi peluang kepada institusi itu untuk membeli semula aset terbabit sekiranya UJSB menjualnya pada masa hadapan.

“Ini bermakna aset berkenaan boleh kembali kepada TH sekiranya TH mahu mengambilnya semula.

“Bagaimanapun, ROFR itu tidak mewajibkan TH membeli semula aset berkenaan kerana sebarang pembelian semula tertakluk kepada penilaian komersial dan kesesuaian aset berdasarkan kriteria pelaburan TH,” katanya.

Beliau berkata, pemindahan aset itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan bagi menyelamatkan serta memperbaiki kedudukan kewangan TH susulan krisis kewangan yang dihadapi institusi tersebut.

“Pelan itu bukan diwujudkan kerana kerajaan mahu mengambil aset TH,” katanya.

Zulkifli berkata, selepas kedudukan kewangan TH bertambah baik, institusi itu menggunakan pengaturan berkenaan untuk memperoleh semula sebahagian aset yang sebelum ini dipindahkan kepada UJSB.

Antaranya, tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual pada harga RM400 juta pada 2018 sebelum dibeli semula oleh TH pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.

TH turut memperoleh semula aset perladangan kelapa sawit milik UJ Estates Holdings Sdn Bhd pada harga RM695 juta berdasarkan nilai pasaran, termasuk RM115 juta secara tunai berbanding harga jualan terdahulu RM800 juta.

Menurut Zulkifli, urus niaga itu membuktikan aset yang dipindahkan dalam proses penstrukturan semula masih boleh dinilai semula dan diperoleh kembali sekiranya berdaya maju dari sudut komersial serta memberi manfaat terbaik kepada pendeposit TH.

Beliau menegaskan, setiap keputusan berkaitan aset TH perlu dibuat berdasarkan kepentingan pendeposit dan bukan pertimbangan politik.

“TH bukan milik kerajaan hari ini, kerajaan semalam atau mana-mana parti politik. Ia amanah milik umat Islam Malaysia,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini mengadakan persidangan khas sehari bagi membincangkan laporan RCI berhubung TH, yang bermula pada jam 10 pagi dengan penjelasan kerajaan sebelum diteruskan sesi pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.

Laporan setebal 211 muka surat yang diterbitkan pada 29 Julai lalu itu meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Antara penemuan utama laporan berkenaan ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira secukupnya susut nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.

Laporan itu turut mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017 dan bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast