Keadaan jerebu yang semakin buruk di sesetengah kawasan di Sarawak. - Foto: Bernama

KUCHING – Enam sekolah di kawasan Tebedu, Sarawak ditutup sementara pagi ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijag, SK Sungai Sameran, SK Tepoi, SK Entubuh, SK Temong dan SK Tema.

“Penutupan tersebut merupakan langkah pencegahan dilaksanakan berdasarkan ketetapan dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), dengan mengambil kira keutamaan terhadap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga sekolah,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPNS, pihak sekolah juga tidak perlu menunggu arahan khusus daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPNS untuk mengambil tindakan penutupan sekolah apabila bacaan IPU di kawasan atau daerah masing-masing melebihi 200.

“Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak segera berdasarkan bacaan IPU semasa di kawasan masing-masing. Pada masa sama, pihak sekolah hendaklah memaklumkan tindakan penutupan tersebut kepada PPD dan JPNS dengan kadar segera bagi tujuan penyelarasan, pemantauan dan rekod.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan perlindungan terhadap murid dan warga sekolah dapat dilaksanakan secara pantas tanpa berlaku kelewatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPNS, walaupun sekolah ditutup sementara, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian diteruskan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.

Menurut kenyataan itu, pihak sekolah juga hendaklah memastikan komunikasi dengan ibu bapa dan penjaga dilaksanakan dengan baik, selain memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesihatan murid sepanjang tempoh penutupan.

“Pihak sekolah juga diingatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan bersesuaian berdasarkan ketetapan KPM,” menurut JPNS. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast