COSH 2026 yang akan berlangsung pada 14 hingga 15 September depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPURTekanan kerja, kesihatan mental, kecerdasan buatan (AI), perubahan corak pekerjaan serta jangkaan baharu terhadap keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan kini menjadi antara cabaran yang membentuk landskap dunia pekerjaan.

Seiring perubahan tersebut, pendekatan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) turut berkembang daripada memberi tumpuan kepada pencegahan kemalangan semata-mata kepada usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan sejahtera.

Perkembangan ini turut mendorong organisasi melihat kesejahteraan pekerja sebagai faktor penting dalam meningkatkan produktiviti, daya tahan organisasi dan kemampanan perniagaan.

Keselamatan di tempat kerja kini bukan sekadar soal pematuhan peraturan, malah melibatkan usaha membina budaya kerja yang menyokong kesejahteraan fizikal, mental dan sosial setiap pekerja.

Perubahan inilah yang menjadi fokus Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) 2026, anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

COSH 2026 yang akan berlangsung pada 14 hingga 15 September depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Bertemakan “Wellbeing at Work” atau `Kesejahteraan di Tempat Kerja’, persidangan ini menghimpunkan pembuat dasar, pakar industri, penyelidik dan pengamal KKP dari dalam serta luar negara bagi membincangkan pendekatan baharu dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini.

Antara topik yang bakal diketengahkan ialah kesejahteraan mental di tempat kerja, risiko psikososial, penggunaan AI dalam meningkatkan keselamatan pekerjaan, pendigitalan, ergonomik, keselamatan jalan raya serta masa depan dunia pekerjaan.

Persidangan ini turut menampilkan pakar daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Institution of Occupational Safety and Health (IOSH), United Kingdom, ahli akademik terkemuka serta pengamal industri yang akan berkongsi penyelidikan, pengalaman dan amalan terbaik dari pelbagai sektor.

Selain persidangan, COSH 2026 turut menampilkan pameran yang menghimpunkan teknologi, produk dan penyelesaian terkini dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Acara ini dijangka menghimpunkan lebih 1,300 peserta persidangan, 2,000 pengunjung, 80 pempamer dan lebih 30 penceramah dari dalam serta luar negara.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026–2030 (OSHMP30), COSH 2026 diharap dapat memperkukuh budaya pencegahan, menggalakkan inovasi serta memperluas kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan dalam membentuk tempat kerja yang lebih selamat, sihat dan sejahtera.

Maklumat lanjut mengenai COSH 2026 dan pendaftaran boleh didapati di www.cosh.niosh.com.my. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast