PUTRAJAYA – Isu berkaitan larangan perjudian di Kedah selesai selepas kerajaan negeri gagal merayu keputusan yang mendapati tindakannya untuk tidak memperbaharui dan mengeluarkan lesen berkenaan, melanggar Perlembagaan.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan, tahun lalu.
Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan itu dan memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.
Turut bersidang dalam panel sama, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.
Panel memutuskan bahawa persoalan undang-undang dalam permohonan kebenaran merayu itu tidak memenuhi tahap peruntukan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pada 12 Disember 2025, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan bagi perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Hakim Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Faizah Jamaludin menolak rayuan kerajaan negeri serta Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi menentang keputusan itu.
Keputusan Mahkamah Rayuan menyatakan arahan Kerajaan Negeri Kedah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mengganggu kuasa Menteri Kewangan dalam hal perjudian.
Kedua-dua hakim dalam keputusan majoriti memutuskan bahawa arahan kerajaan negeri adalah ultra vires serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Hock Leng berkata, hal ehwal berkaitan perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan kerana lesen untuk ejen serta pengusaha perjudian dikeluarkan dan dikawal selia oleh kementerian berkenaan.
Hakim Faizah pula berkata keengganan Kerajaan Negeri Kedah untuk memperbaharui lesen premis perjudian telah menceroboh kuasa Persekutuan dan menjejaskan kuasa Menteri Kewangan di bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul.
“Keadaan ini mewujudkan konflik sebenar antara kuasa kerajaan negeri dan persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Hakim Azizah berkata rayuan itu sepatutnya dibenarkan kerana kerajaan negeri membuat keputusan itu atas dasar awam.
Pada 20 Jun 2024, Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh beberapa ejen perjudian, syarikat serta pegawai mereka terhadap keputusan Kerajaan Negeri Kedah. – MalaysiaGazette
















