SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyasarkan kehadiran sekitar empat juta pengunjung serta penglibatan kira-kira 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, MAHA 2026 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September depan di MAEPS, Serdang dengan membawa tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.

Menurutnya, penganjuran kali ini turut menyasarkan sekurang-kurangnya RM58 juta nilai jualan langsung serta RM8 bilion potensi pelaburan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA).
“MAHA 2026 bukan sekadar pameran pertanian, tetapi merupakan platform yang menghimpunkan kerajaan, pemain industri, usahawan, pelabur, golongan belia dan masyarakat dalam satu ekosistem agromakanan yang lebih menyeluruh,” katanya pada sidang media khas sempena MAHA 2026 di MAEPS di sini, hari ini.
Isham berkata, MAHA 2026 turut memberi penekanan lebih besar kepada teknologi pertanian pintar, digitalisasi dan inovasi agro, selain membuka peluang kepada produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, antara tarikan yang disediakan ialah Taman Magika, pertunjukan laser, cahaya dan dron, Kota Keriangan Kanak-Kanak, Agro Safari, Fiesta Makanan, Pavilion Negeri, Rewang Warisan dan Sukan Rakyat.
Tambah beliau, MAHA Go Global pula akan menampilkan penyertaan 14 negara menerusi International Country Pavilion, selain program Hosted Buyer yang mempertemukan pempamer tempatan dengan 40 pembeli antarabangsa.
Beliau berkata, MAHA 2026 turut menyasarkan penglibatan sekitar 800,000 belia bagi menarik lebih ramai golongan muda melihat sektor agromakanan sebagai sektor masa depan yang mempunyai potensi ekonomi dan kerjaya.
Bagi kemudahan pengunjung, sebanyak 4,800 lot parkir disediakan di Pintu 1 dan 1,500 lot di Pintu 2, selain perkhidmatan shuttle percuma dari MRT UPM, KTM Serdang dan Putrajaya Central dengan kemasukan pengunjung adalah percuma.
MAHA 2026 turut mengetengahkan pelbagai pengisian berkaitan teknologi, inovasi, perniagaan, makanan, budaya dan aktiviti keluarga, sekali gus menjadikannya platform ekonomi dan keterjaminan makanan yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette
















