MELAKA – Inspektor polis dan anggota polis wanita berstatus isteri orang masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,000 dan RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah berkhalwat, tiga bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Shukri Hamzah, 40, dan Intan Suriani Abdul Kadir, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mawardi Che Man.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati berkurung di dalam sebuah bilik sewa yang boleh mendatangkan syak bersama individu yang bukan pasangan atau mahram yang sah di sisi hukum syarak.
Perbuatan itu berlaku pada jam 11.57 malam, 14 Mei 2026, di sebuah bilik sewa beralamat di Taman Mas Merah, Batu Berendam di Melaka Tengah.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53(1)/(2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau RM2,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam hujahnya, memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai anggota badan penguat kuasa.
Tegasnya, kedua-dua tertuduh sepatutnya menunjukkan tahap integriti yang tinggi sebagai anggota polis, namun perbuatan itu boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap badan penguat kuasa.
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM3,000 terhadap Muhammad Shukri, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, manakala Intan Suriani didenda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda. – MalaysiaGazette
















