PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menjelaskan belum menerima sebarang maklumat berkenaan dakwaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad buat masa ini.
Menurut beliau, fakta mengenai dakwaan Madinah yang mengatakan beliau tidak dipanggil pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disemak semula sebelum ia disahkan.
“Sekiranya berkenaan fakta-fakta itu, kita perlu menyemak semula dan mengesahkannya. Jadi sekarang ini saya tidak dapat apa-apa maklumat berkenaan perkara tersebut,” katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasa Mu Dikenang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan Madinah yang meluahkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil pada prosiding oleh RCI Lembaga Tabung Haji (TH) walaupun beliau sedia memberi keterangan kepada panel siasatan itu.
Media hari ini ini melaporkan, Madinah yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara pada 2017 hingga 2019, mendedahkan yang beliau sudah berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika prosiding RCI TH itu berlangsung tetapi namanya tidak dipanggil.
Sementara itu, Zulkifli menyifatkan tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan RCI berhubung pengurusan Tabung Haji kelmarin sebagai tidak bertanggungjawab.
“Apabila ada Ahli Parlimen yang keluar dan tidak mahu membahaskan, maka saya merasakan bahawa itu bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab.
“Kita perlu bersama-sama berbahas, bertanya soalan dan mengupas supaya kita dapat mencari satu keputusan ataupun penyelesaian yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perbahasan berhubung laporan itu kini telah selesai dan semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan proses seterusnya. – MalaysiaGazette
















