KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan pelbagai komoditi termasuk rokok, minuman keras, alat mainan seks serta sisa logam dan plastik yang mencecah RM42.99 juta.

Kesemua rampasan itu melibatkan empat kes berasingan membabitkan 63 buah kontena yang ditahan dan diperiksa di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang antara Mei hingga Jun 2026.

Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, kejayaan itu hasil tindakan penguatkuasaan dan risikan berterusan JKDM Selangor bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta National Targeting Centre (NTC).

Menurut beliau, empat kes berkenaan membabitkan nilai barangan sebanyak RM8.34 juta, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan RM34.65 juta.

“Jumlah keseluruhan sitaan bagi empat kes ini adalah sebanyak RM42,988,883 termasuk duti dan cukai,” katanya pada sidang media di pekarangan pejabat JKDM Selangor di Pelabuhan Klang Utara, di sini, hari ini.

Dalam kes pertama pada 4 Mei 2026, katanya, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor dengan kerjasama AKPS menahan sebuah kontena 40 kaki di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak memegang minuman keras yang dirampas dalam satu operasi pada sidang media di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Pelabuhan Klang Utara, hari ini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan menemukan 1,578.43 liter minuman keras pelbagai jenis dipercayai diimport tanpa permit sah dan disembunyikan bersama dagangan “used auto parts”.

“Minuman keras itu dianggarkan bernilai RM249,880 manakala duti dan cukai berjumlah kira-kira RM160,037 menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM409,917,” katanya.

Menurut Noraidah, siasatan awal mendapati kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 27 April 2026 dari sebuah negara di Asia.

Modus operandi yang digunakan dengan membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam 1 dengan mengisytiharkan barangan sebagai “Used Auto Parts” bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam kes kedua pada 26 Mei 2026, JKDM Selangor menahan sebuah lagi kontena 40 kaki di Zon Bebas Pelabuhan Utara.

Pemeriksaan menemukan 1,240 alat mainan seks yang diklasifikasikan sebagai barang larangan mutlak bersama pelbagai barangan lain.

“Keseluruhan barangan berkenaan dianggarkan bernilai RM52,500,” katanya.

Menurut Noraidah, kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Mei 2026 dari sebuah negara di Asia.

“Siasatan mendapati modus operandi digunakan dengan membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam 1 dan mengisytiharkan barangan sebagai “Chair, Waist Bag, Stainless Steel Tumbler, Underwear”,” katanya.

Selain itu, katanya hampir 1.2 juta kilogram (kg) sisa logam dan plastik ditemukan pihaknya menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan dari awal 2026 hingga pertengahan Jun 2026.

Katanya, sebanyak 57 kontena ditahan dan diperiksa hasil maklumat risikan JKDM Selangor dengan kerjasama NTC.

“Dari jumlah itu, 13 kontena mengandungi 351,185 kg sekerap logam, manakala 44 kontena mengandungi 841,552.50 kg sekerap plastik yang dipercayai tidak mempunyai permit import.

“Keseluruhannya, barangan itu berjumlah 1,192,737.50 kg atau hampir 1.2 juta kg.

“Logam sekerap dianggarkan bernilai RM1.79 juta dengan duti dan cukai RM118,955, manakala sekerap plastik bernilai RM2.34 juta dengan duti dan cukai kira-kira RM708,834.

“Ini menjadikan nilai keseluruhan kes berkenaan RM4,965,866 termasuk duti dan cukai,” katanya.

Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak menunjukkan antara sekerap logam dan plastik yang dirampas dalam satu operasi pada sidang media di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Pelabuhan Klang Utara, hari ini.

Jelasnya, siasatan mendapati barangan berkenaan diikrarkan secara tidak benar sebagai “Mould”, “ABA Flakes”, “Aluminium Material”, “PS Flakes”, “Copper Concentrate” dan “PP Plastic Crush”.

“Pengimportan logam sekerap dan plastik sekerap tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan SIRIM,” katanya.

Sementara itu, JKDM Selangor berjaya menahan empat kontena 40 kaki yang mengandungi 48.78 juta batang rokok putih.

Katanya, operasi dilakukan pada 3 dan 10 Jun 2026, membabitkan sebuah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara dan tiga kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

“Kesemua kontena berstatus transhipment dan pemeriksaan mendapati tiada pengikraran dalam manifes bagi dagangan berkenaan.

“Rokok tersebut dianggarkan bernilai RM3,902,400 manakala duti dan cukai yang terlibat mencecah RM33,658,200.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bagi kes berkenaan RM37,560,600 termasuk duti dan cukai,” katanya.

Menurut Noraidah, siasatan awal mendapati kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Klang pada 15 dan 19 Mei 2026 dari sebuah negara di Asia.

“Modus operandi dikesan dengan tidak mengikrarkan barangan berkenaan dalam manifes sehingga tarikh pemeriksaan dijalankan.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 52(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Noraidah berkata, kes pertama hingga ketiga disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan serta Seksyen 133(1)(a) akta sama kerana membuat pengikraran tidak benar.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a), pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 mana-mana yang lebih besar, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mana-mana yang lebih besar.

“Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a), hukuman yang diperuntukkan ialah denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi kes rokok, sabitan di bawah Seksyen 52(1) Akta Kastam 1967 boleh membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Noraidah berkata, semua kes masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan lain menyalahi undang-undang.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat.

“JKDM turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast