Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara berkembang lebih pantas pada suku kedua tahun ini apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat enam peratus, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, prestasi tersebut menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama tahun ini pada 5.7 peratus, jauh lebih tinggi berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, pertumbuhan kukuh itu membuktikan ekonomi negara terus mempunyai momentum meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.

“Namun, kejayaan ekonomi tidak boleh diukur melalui angka pertumbuhan semata-mata. Yang lebih penting ialah peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan dan kuasa beli rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Akmal Nasrullah, prestasi tersebut disokong permintaan domestik yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang menggalakkan selain pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Tambahnya, pasaran buruh juga kekal berdaya tahan, manakala tekanan harga masih terkawal dengan kadar inflasi pada 1.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

Katanya lagi, prestasi itu dicapai ketika ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan, termasuk kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap harga tenaga, kos logistik dan rantaian bekalan.

Selain itu beliau berkata, struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai serta kekuatan permintaan domestik terus menjadi penampan terhadap tekanan luaran.

“Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan ekonomi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kesan perkembangan luar terhadap rakyat dan perniagaan dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, pertumbuhan ekonomi dijangka terus disokong permintaan domestik, pasaran buruh yang stabil, perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelancongan serta permintaan global terhadap produk E&E.

Namun, dalam masa sama ujarnya, kerajaan kekal memberi perhatian terhadap risiko luaran dan akan memastikan dasar serta langkah intervensi dilaksanakan secara bersasar.

“Matlamat kerajaan adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dan berdaya tahan, serta manfaatnya dapat diterjemahkan kepada pendapatan, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here