KUALA LUMPUR – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya para pelajar yang berada di kampus dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan terkini jerebu yang boleh menjejaskan kualiti udara dan kesihatan.
Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) USM dalam satu kenyataan berkata, keadaan cuaca dan kualiti udara ketika ini boleh berubah dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, ujarnya, pelajar yang berada di kampus disaran untuk sentiasa mengikuti perkembangan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mematuhi sebarang arahan atau nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Walaupun hujan dan ribut petir dilaporkan melibatkan seluruh Pulau Pinang pada hari ini, keadaan atmosfera dan kualiti udara masih boleh berubah mengikut faktor cuaca semasa,” katanya.
Tambahnya, bagi mengurangkan pendedahan kepada keadaan jerebu semasa, pelajar dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan, terutama aktiviti lasak atau sukan sekiranya keadaan berjerebu semakin ketara.
Selain itu, ujarnya, pelajar juga perlu menggunakan pelitup muka yang bersesuaian apabila perlu berada di luar dalam keadaan kualiti udara tidak sihat, selain banyak minum air kosong bagi memastikan badan kekal terhidrat.
Katanya, pelajar juga disaran menutup pintu dan tingkap sekiranya keadaan jerebu semakin teruk dan menggunakan pendingin hawa atau penapis udara jika bersesuaian, serta memantau bacaan IPU semasa sebelum menjalankan aktiviti luar.
“Pelajar yang mengalami batuk, sesak nafas, sakit tekak, pedih mata atau ketidakselesaan berpanjangan disaran mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan.
“Pelajar yang mempunyai masalah kesihatan yang boleh terjejas akibat pencemaran udara perlu mengambil langkah pencegahan tambahan dan mengurangkan pendedahan di luar,” katanya.
Tambahnya, semua pelajar USM diminta memberikan perhatian terhadap keadaan persekitaran dan tidak mengambil ringan perubahan kualiti udara.
Selain itu, katanya, penganjur program dan pertubuhan pelajar juga disaran menilai semula kesesuaian aktiviti luar sekiranya bacaan IPU meningkat ke tahap tidak sihat.
Terdahulu, media melaporkan aktiviti tertentu termasuk aktiviti luar sekolah mungkin dihentikan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU di Pulau Pinang mencapai tahap lebih buruk.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, buat masa ini bacaan IPU di negeri itu masih berada pada tahap sederhana dan kerajaan negeri akan terus memantau perkembangannya.
Sementara itu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, kualiti udara di negeri itu bagi tempoh tiga hari iaitu 10 hingga semalam berada pada tahap sederhana (51–100), dengan bacaan IPU antara 60 hingga 99, namun telah menghampiri paras tidak sihat. – MalaysiaGazette
















