Calon Bersama, Dr Muhammad Solehin Saleh bercakap kepada media selepas majlis pengumuman calon PRN Melaka ketika di 906 Premier Hotel, Melaka Baru. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2026.

MELAKA — Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan akan bertanding di 15 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pengumuman itu menjadikan parti berkenaan yang terawal mengumumkan calon serta kerusi yang bakal ditandingi pada PRN Melaka.

“Malam ini, bermula di Melaka, Bersama jadi parti yang pertama saya ingat dalam sejarah Malaysia mengumumkan calon-calon dan juga kerusi-kerusi yang kita bertanding.

“Ini dilakukan belum pun Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terfikir nak bubarkan DUN,” katanya.

Semua 15 daripada 28 DUN yang akan ditandingi ialah Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput dan Klebang.

Turut sama ialah DUN Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Telok Mas, dan Serkam.

Kerusi DUN Bemban paling mencuri tumpuan apabila akan ditandingi Dr. Muhamad Solehin Saleh yang merupakan abang kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendengar pengumuman pada pengumuman senarai calon PRN Melaka di Melaka Baru di sini malam ini.

Rafizi berkata, Bersama akan memulakan kempen sebaik sahaja pengumuman calon dibuat malam ini dengan semua calon, ahli parti dan sukarelawan diminta turun bekerja.

“Kempen kita bermula malam ini dan buatlah kerja,” katanya.

Menurutnya, Bersama turut sedang membangunkan manifesto dan tawaran khusus kepada rakyat serta pengundi Melaka.

Katanya, manifesto berkenaan akan dilancarkan pada malam ceramah pertama Bersama selepas hari penamaan calon.

“Kita ada pasukan sekarang yang sedang membangunkan satu manifesto dan tawaran kepada negeri, orang-orang dan pengundi Melaka.

“Insya-Allah pada hari penamaan calon, malam itu ceramah pertama kita ialah untuk melancarkan manifesto Bersama kepada orang-orang negeri Melaka,” katanya.

Rafizi berkata, Bersama mengambil pendekatan berbeza dengan parti lain dengan mengumumkan calon lebih awal bagi memberi peluang kepada calon mendekati pengundi sebelum hari pengundian.

Menurutnya, langkah itu juga membolehkan rakyat mengenali calon dan tidak hanya membuat pilihan berdasarkan lambang parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast