KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) atau AUKU.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, usaha berkenaan telah digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 melalui agenda pembentukan One Higher Education Act.
“AUKU bukan semata-mata akta yang mengawal selia hal ehwal atau kebebasan mahasiswa. Ia merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.
“Oleh itu, pemansuhannya perlu disusuli dengan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung hasrat memansuhkan AUKU ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026.
Zambry berkata, proses pembentukan kerangka baharu itu akan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
Katanya, pihak berkenaan termasuk kepimpinan universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), penyedia pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pakar perundangan serta mahasiswa.
“Matlamat kita bukan sekadar untuk memansuhkan sebuah akta, tetapi untuk membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan.
“Ia bagi memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, di samping memastikan tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan IPT terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan tinggi negara yang telah dimulakan menerusi RPTM 2026–2035.
Langkah berkenaan, katanya, penting bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, dinamik dan berupaya menghadapi perubahan landskap pendidikan global. – MalaysiaGazette














