AYER KEROH – Cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Rabu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan melakukan pembaharuan dalam sektor pendidikan tinggi.
“Saya akan bawa ke mesyuarat Kabinet Rabu depan,” katanya dalam sidang media selepas selesai menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR di Melaka International Trade and Exhibition Centre (MITC), hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar mengumumkan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30).
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, biarpun beberapa pindaan sudah dibuat sebelum ini, namun ada perkara yang masih belum memuaskan mahasiswa.
AUKU yang diperkenalkan pada tahun 1971 sudah tujuh kali dipinda iaitu pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.
Pada pindaan tahun 2012, AUKU membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024 menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa naib canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar iaitu menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU. – MalaysiaGazette















