KUALA LUMPUR – Pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang muzik dan seni persembahan terus mendapat pengiktirafan apabila Datuk Syafinaz Selamat dilantik semula sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pelantikan bagi penggal kedua itu berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028 selepas sebelum ini beliau dilantik sebagai Profesor Adjung FMSP bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pelantikan berkenaan membuktikan pengiktirafan universiti terhadap kepakaran dan pengalaman Syafinaz dalam bidang muzik dan seni persembahan, khususnya pembangunan bakat serta pendidikan muzik.
“Pelantikan Syafinaz sebagai Profesor Adjung Tersohor FMSP adalah satu pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam industri muzik yang boleh dimanfaatkan untuk memperkayakan ekosistem akademik universiti.
“Penglibatan tokoh industri seperti beliau penting bagi memastikan pendidikan muzik sentiasa mempunyai hubungan kukuh dengan perkembangan industri sebenar, sekali gus memberi pendedahan profesional lebih luas kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Md Amin, pengalaman Syafinaz sebagai penyanyi, guru vokal dan penggiat seni persembahan mampu memberi nilai tambah kepada pengajaran, pembelajaran serta pembangunan bakat di FMSP.
Dekan FMSP, Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani, berkata sepanjang pelantikan terdahulu, Syafinaz memberi sumbangan menerusi pelbagai aktiviti akademik dan artistik termasuk sebagai penyelia bersama pelajar Doktor Falsafah (Persembahan Muzik).
Beliau turut menjadi penceramah seminar The Fundamentals of Vocal Production serta mengendalikan Masterclass in Vocal Performance and Artistic Expression.
“Penglibatan beliau turut merangkumi pembangunan deVokalis Choir sebagai penasihat koir, Pengarah Artistik dan Penasihat Vokal Eksekutif menerusi program pembangunan profesional serta persembahan Harmonic Odyssey: A Decade of deVokalis Choir,” katanya.
Kepakaran Syafinaz juga dimanfaatkan dalam persediaan deVokalis Choir menyertai Busan Choral Festival 2026, khususnya dalam aspek pembangunan vokal, interpretasi dan peningkatan kualiti persembahan. – MalaysiaGazette
















