Seramai 1,857 perwakilan DAP menyokong parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

PUTRAJAYA – DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal selepas majoriti besar perwakilan parti memberikan mandat kepada kepimpinan untuk meneruskan kerjasama dalam kerajaan.

Keputusan itu dibuat menerusi undi sulit pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 hari ini dengan 1,857 daripada 2,099 undi sah, bersamaan 88.2 peratus, menyokong usul supaya parti itu kekal dalam kerajaan.

Sebanyak 242 undi atau 11.5 peratus pula menyokong supaya DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Sebanyak 2,106 kertas undi dikeluarkan dan jumlah yang sama diterima, dengan tujuh kertas undi rosak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keputusan itu merupakan mandat yang jelas kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), kepimpinan parti serta wakil DAP dalam kerajaan untuk terus menjalankan tanggungjawab mereka sehingga tamat tempoh pentadbiran.

Beliau berkata, mandat berkenaan juga membolehkan parti terus memberi tumpuan kepada agenda reformasi serta melaksanakan perubahan dan janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Ini merupakan satu mandat kepada CEC dan kepada pemimpin-pemimpin parti dan wakil parti dalam kerajaan untuk terus berkhidmat, untuk terus menguruskan kerja kita.

”Selain menguruskan agenda reformasi dan supaya kita dapat memberikan fokus untuk melaksanakan perubahan-perubahan dan janji-janji yang telah kita janjikan dalam manifesto PH,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Anthony Loke berkata, keputusan itu perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab yang diberikan oleh perwakilan kepada kepimpinan parti untuk menguruskan kedudukan DAP dalam kerajaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan yang hadir serta mengambil bahagian dalam proses pembentangan, perbahasan dan pengundian usul berkenaan.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata kehadiran lebih 2,000 perwakilan pada persidangan kali ini merupakan angka yang tinggi, terutama kerana persidangan tersebut tidak melibatkan pemilihan parti.

Menurutnya, perwakilan yang hadir bukan hanya terdiri daripada golongan besar dalam parti, sebaliknya ramai daripada kalangan akar umbi yang hadir atas rasa tanggungjawab dan kepercayaan terhadap parti.

Beliau berkata, terdapat juga perwakilan yang tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen pekerjaan atau perniagaan, yang merupakan perkara biasa bagi mana-mana persidangan.

Seramai 2,223 perwakilan direkodkan hadir pada persidangan kali ini, bersamaan 52.12 peratus.

Dengan keputusan itu, DAP kini mempunyai mandat daripada perwakilan untuk meneruskan peranan dalam Kerajaan Perpaduan, dengan fokus diberikan kepada pelaksanaan agenda reformasi dan janji yang dipersetujui kepada rakyat sehingga tamat penggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast