Keempat-empat warga Thailand yang terdiri daripada tekong serta kru itu ditahan untuk siasatan lanjut.

GEORGE TOWN – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang semala, kerana disyaki melanggar syarat sah lesen menangkap ikan.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot terbabit dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai susulan aduan awam yang diterima pihaknya.

Menurutnya, bot ronda yang sedang melaksanakan rondaan rutin kemudian digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menahan bot berkenaan berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung kira-kira jam 11.40 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk seorang tekong yang kesemuanya warga Thailand berusia antara 51 hingga 58 tahun.

“Bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan.

“Kesemua kru bersama bot serta hasil rampasan yang dianggarkan bernilai RM3 juta ditahan dan dibawa ke Jeti Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan syarat pelesenan, khususnya membabitkan aktiviti perikanan di perairan negara.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan sumber perikanan negara diurus secara mampan selain memelihara keselamatan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia.

“Kita juga menyeru orang awam menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here