GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik usaha memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara melalui penggubalan akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, usaha itu selaras dengan agenda pembentukan One Higher Education Act seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada 1971, AUKU telah melalui lapan kali pindaan di Parlimen.
“Walaupun semua pindaan tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk menyesuaikan pendidikan tinggi dengan perkembangan semasa, terutama agenda memberikan ruang autonomi yang lebih luas kepada mahasiswa dari perspektif kepimpinan, kebebasan bersuara dan penyertaan serta persediaan mahasiswa untuk menjadi pemimpin masyarakat.
“AUKU telah lapan kali dipinda tetapi masih terdapat pandangan bahawa AUKU masih lagi bersifat mengawal menunjukkan bahawa pindaan-pindaan yang telah dilaksanakan sebelum ini masih belum sepenuhnya menjawab kebimbangan dan aspirasi sebahagian pihak khususnya generasi mahasiswa hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rahman berkata, USM berpandangan tidak salah untuk negara melihat semula keseluruhan kerangka AUKU termasuk memansuhkannya dan menggantikannya dengan undang-undang baharu sekiranya pendekatan itu dapat menghasilkan sistem pendidikan tinggi yang lebih baik, progresif dan mendapat keyakinan semua pihak berkepentingan, terutama mahasiswa.
Katanya, perkara lebih penting bukan sama ada nama AUKU dikekalkan atau dimansuhkan, tetapi bagaimana undang-undang baharu itu dibentuk dan prinsip yang akan mendasarinya.
“USM yakin akta baharu tersebut akan digubal melalui proses konsultasi yang inklusif dengan mahasiswa, kepimpinan universiti, ahli akademik, ahli legislatif, pakar perundangan dan pihak berkepentingan lain.
“Pendekatan itu selari dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bahawa proses pembentukan kerangka baharu akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, terutama mahasiswa.
“USM menyambut baik penegasan Menteri Pendidikan Tinggi bahawa matlamat pembaharuan itu bukan sekadar untuk memansuhkan sebuah akta, tetapi membina kerangka pendidikan tinggi yang lebih komprehensif,” katanya.
Tambah beliau, kerangka berkenaan perlu memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, di samping memastikan tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi terus terpelihara.
“USM berharap kerangka perundangan baharu yang bakal dibentuk nanti dapat mencapai keseimbangan antara memberikan ruang yang lebih luas kepada autonomi universiti, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, dengan keperluan untuk terus memelihara tadbir urus, akauntabiliti, integriti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette















