Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Pelan komprehensif bagi memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, pelan itu akan dibentangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada mesyuarat Kabinet, susulan arahan supaya kawalan di pintu masuk negara diperkemaskan secara menyeluruh.

Katanya, pelan berkenaan disiapkan dalam tempoh dua minggu dengan memberi tumpuan kepada penyelarasan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan kawalan keselamatan tidak lagi dilaksanakan secara bersendirian atau ‘in silo’.

“Esok saya akan bentangkan secara bersama dengan rakan saya iaitu menteri pengangkutan kerana ia (pelan komprehensif) ada elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, antara perkara yang diteliti termasuk kompetensi sumber manusia, keperluan infrastruktur, sistem kamera litar tertutup (CCTV), mesin pengimbas serta latihan kepada petugas yang mengendalikan peralatan berkenaan.

“Kita nak tengok aspek mana yang boleh kita tambah baik, apakah dari sudut keperluan infra, CCTV, mesin imbas atau latihan tentang orang yang mengawasi mesin imbas. Semua sekali kita akan tengok,” katanya.

Katanya, pelan itu dirangka dengan menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran pelbagai agensi di bawah KDN, MOT serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti dan menangani kelemahan di pintu masuk negara secara menyeluruh.

“Saya hargai kerana (KDN) menghasilkan satu pelan yang akan memberikan kesan kepada kawalan pintu masuk agar tidak lagi berulang insiden (seludup dadah),” katanya.

Mengulas siasatan kes seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia selepas kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Saifuddin Nasution berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa negara berkenaan.

Beliau berkata, suspek berkenaan juga sudah ditemu bual bagi membantu siasatan, termasuk menentukan sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket antarabangsa atau dilakukan secara bersendirian.

“Daripada maklumat yang peroleh itu membantu kita untuk mengesan apakah ia merupakan satu rangkaian sindiket antarabangsa atau tindakan tersendiri dan sebagainya.

“Itu memberi peluang kepada kita untuk kemudiannya mengesan di mana kelemahan atau kekurangan di pintu keluar atau pintu masuk negara kita,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan semalam berkata juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan bersama kira-kira 25 kilogram dadah di Indonesia, bulan lalu, dipercayai sudah beberapa kali membawa dadah keluar dari Malaysia ke beberapa negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here