Pegawai Penyiasat Kes, ASP Hasryman Osman mengiringi tertuduh Zainudin dan Azizan (kanan), kedua-duanya banduan PBSL, serta Mohammad Asyraaf Zuhairi di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

BUTTERWORTH – Dua banduan yang sedang menjalani Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) antara tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh sebuah rumah, minggu lalu.

Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainudin Chik Ani, 46; Azizan Osman, 46; dan Mohammad Asyraaf Zuhairi Adam Rizalee, 33, selepas mereka membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibaca terhadap mereka.

Zainudin dan Azizan merupakan banduan PBSL dan masing-masing mereka sepatutnya dibebaskan sepenuhnya pada 11 September ini.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki rumah seorang wanita berusia 28 tahun di Jalan Padang Menora, Lahar Yooi, Tasek Gelugor di sini, jam 7.50 pagi, pada 12 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Syamimi Abu Bakar yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan faktor tanggungan masing-masing.

Katanya, Zainudin yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM70 sehari perlu menanggung isteri dan anak.

“Azizan pula bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM60 sehari. Dia masih bujang namun menanggung ibunya yang menghidap penyakit jantung.

“Manakala Mohammad Asyraaf menanggung dua adik dan ibunya selain bekerja kampung dengan pendapatan RM60 sehari,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap ketiga-tiga tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Zainudin turut dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah rumah milik mangsa sama sebelum mencuri sebuah telefon bimbit jenama Oppo model CPH 2483 dan satu rangkai kunci berserta kunci motosikal.

Bagi pertuduhan itu, Zainudin didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here